31/01/2011, Isnin….. Hari Kedua Beijing–Tianjin Tours.

Friday, February 11, 2011
iFaizi
blogger



31/01/2011, Isnin….. Hari Kedua Beijing–Tianjin Tours.

Pukul 7.00 pagi, aku sudah bersiap untuk turun ke lobi dan menjamah sarapan. Sarapan yang disediakan di restoran hotel tersebut adalah halal dan tanpa was – was. Ada seperkara yang aku hendak maklumkan kepada kalian semua, apabila kalian mengunjungi bumi China, bawalah kamus Bahasa Inggeris – Mandarin (yang mempunyai tulisan rumi). Ini adalah kerana ramai rakyat China dalam jangkaan lebih 80% tidak fasih langsung berbahasa Inggeris & tidak semuanya boleh berbahasa Melayu/Indonesia (B-P). Jika kalian tidak membawa kamus, maka akan terjadilah situasi seperti ayam dan itik berbicara, B-) .

Aku perhatikan kakitangan hotel tidak fasih berbicara Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu mahupun Bahasa Indonesia. Hendak harapkan Maggie Ma, beliau bukan ada setiap masa di sisi kami ketika berada di hotel. Maka terjadilah situasi mereka dan ada antara kami menggunakan isyarat tangan yang kadang – kadang aku terasa nak gelak. Macam–macam gaya ada. Nasib baik tiada gaya cucuk bintang (X-D). Aku sedikit beruntung kerana boleh berkomunikasi sedikit–sedikit dalam Bahasa Mandarin. Alangkah bagusnya kalau arwah atuk Mansor aku masih hidup dan beliau juga ikut serta rombongan ini, senang untuk jadi penterjemah sebab atuk Mansor aku adalah seorang Cina Muslim dan fasih berbahasa Mandarin. B-).



Walaupun masakan di restoran hotel tersebut adalah halal dan tanpa was–was tetapi jenis makanan yang dihidangkan tidak sama seperti mana kebanyakkan hotel di Malaysia. Tiada roti bakar dan mentega. Tiada jus oren, tiada omelet dan tiada apa jenis hidangan yang kalian biasa nampak di kebanyakkan hotel yang ada di Malaysia. Yang ada adalah jenis–jenis hidangan tradisional China yang halal seperti kway teow goring, dim sum, nasi goring ala China dan , lain–lain jenis masakan tradisonal China yang halal. Aku membayangkan kalaulah ketika itu ada roti bakar sapu mentega disertakan dengan jus oren untuk dijamah dengan cuaca dingin, PERGHHHH, terangkat WOOO !!! B-) . Tapi aku makanlah apa yang ada, janji halal dan kenyang. B-) . Walaupun sudu & garfu disediakan tetapi aku makan juga pakai chopstick sebab nak ada ‘feel’ berada di bumi China, B-P (Ceh, padahal di Malaysia pun aku kadang–kadang makan pakai chopstick ketika makan mee di restoran halal milik orang Melayu Islam tertentu, B-D).

Setelah selesai menjamah sarapan, kami pun keluar dari bangunan hotel untuk menuju masuk ke dalam bas persiaran kami yang telah berada di perkarangan luar bangunan hotel tersebut sejak 7.30 pagi lagi. Sebelum kami masuk ke dalam bas, kami bergambar dengan kolam yang telah beku di luar bangunan hotel tersebut. Ada antara kami hampir terjatuh kerana tergelincir termasuklah aku. Yang hampir terjatuh akibat tergelincir adalah mereka – mereka yang awal sekali menangkap gambar kerana tidak tahu bahawa ais tersebut licin. Untunglah yang menangkap gambar kemudian sebab sudah ‘alert!’. B-).

Apabila semuanya sudah ada di dalam bas, kami pun mula bergerak. Destinasi pertama kami pada hari tersebut ialah Dataran Tian An Men, sebuah dataran terbesar di dunia (berbelas kali ganda saiznya berbanding Dataran Merdeka, Kuala Lumpur). Seperti biasa, sepanjang perjalanan kami untuk sampai ke sesuatu destinasi di negara China itu, kami menikmati pemandangan ibu kota Beijing yang pesat membangun. Tidak keterlaluan untuk aku katakan bahawa pembangunan infratruktur secara keseluruhannya, Kuala Lumpur sudah kalah dengan Beijing. Tinggal lagi, Kuala Lumpur hanya menang dengan Beijing dari segi pembangunan infrastruktur hanyalah sekadar Bangunan Berkembar Petronas (KLCC), Menara Kuala Lumpur (Menara KL) dan Berjaya Times Square, itu sahaja yang Kuala Lumpur berjaya atasi Beijing dari segi pembangunan infrasturktur. Jalan – jalan utama di sekitaran ibu kota Beijing juga bersih dan tiada kesan seperti ‘jalan tampal’ setaraf dengan negara maju. Melihat keadaan Beijing pada ketika itu, aku mulakan merasakan yang aku bukan berada di sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan komunism yang sedang membangun tetapi terasa seperti berada di sebuah negara demokrasi yang maju.

Sepanjang perjalanan menuju ke Dataran Tian An Men dari Hotel Chang Feng, aku perhatikan banyak syarikat – syarikat kewangan, perbankan & petroleum didominasi oleh syarikat milik pemerintah dan boleh dikatakan hampir tiada satu pun syarikat kewangan, perbankan & petroleum yang datangnya dari negara asing. Tidak seperti Malaysia, selain kita ada Petronas, CIMB, & Maybank, Malaysia juga ada Shell, Esso, HSBC, Al – Rajhi Bank dan lain – lain. Di China hanya ada Sinopec (syarikat Petroleum milik pemerintah China), Shenzen Bank, Bank of Beijing, Agriculture Bank of Beijing, Architectural Bank of China dan lain – lain syarikat kewangan, perbankan & petroleum domestik yang lain. Mungkin inilah antara sebabnya kenapa ekonomi China boleh maju begitu drastik sekali kerana bidang – bidang yang kritikal dikuasi sepenuhnya oleh pemerintah tanpa ada persaingan dari firma asing.

Setibanya kami ke Dataran Tian An Men, semua turun dari bas dan aku membawa banting yang tertera “Rombongan Ke Beijing, China” tetapi Maggie Ma melarang aku membawa banting tersebut kerana terdapat kawalan keselamatan & rondaan oleh tentera China di Dataran Tian An Men & Kota Larangan, Aku tidak bertanya kenapa dan apa kaitan banting dengan tentera di Dataran Tian An Men & Kota Larangan kerana aku sudah sedia maklum menerusi pencarian maklumat tentang China di Google dan salah satu sebab kenapa banting aka banner tidak boleh dibawa ke Dataran Tian An Men adalah disebabkan peristiwa Tian An Men 1989. Apa yang berlaku di Dataran Tian An Men pada tahun 1989? Aku rasa adalah lebih baik sekiranya kalian sendiri bertanya kepada pakcik Google. Pakcik Google tahu segalanya tentang apa yang berlaku di Dataran Tian An Men pada tahun 1989. Oleh sebab itulah pakcik Google tidak dibenarkan menjejakkan kaki ke bumi China termasuklah pakcik Facebook. Aku malas nak bercerita lebih lanjut tentang peristiwa Tian An Men 1989 di blog ini atau di mana jua medium online, penyiaran & percetakan sebab khuatir lain kali aku tidak dapat menjejakkan lagi ke bumi China walaupun aku BERSIH ! B-) .

Berbalik kepada tibanya kami ke Dataran Tian An Men, kami serombongan menuju ke Dataran Tian An Men. Seperkara lagi yang ingin aku maklumkan kepada kalian semua, apabila berjalan di luar di negara China, jangan jalan berseorangan / berasingan / berpecah kerana faktor keselematan. Seeloknya jalan biarlah berkumpulan atau sekurang – kurangnya berduan kerana bukan sahaja atas faktor keselamatan tetapi juga agar tidak ‘dikepung’ oleh beberapa penjual jalanan yang seperti memaksa kita membeli barang yang mereka jual seperti contoh topi musim dingin, replika stadium sarang burung dan bermacam lagi. Sebaik sahaja kami turun dari bas, ada sahaja penjual jalanan yang memujuk kami untuk membeli barang. Sekiranya kalian tidak mahu membeli dan telah memberi isyarat tangan ‘tidak’ dan berkata ‘NO!’ & ‘DON’T WANT!’, cadangan aku katakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin yang berbunyi seperti ini “Dui bu qi, wo shuo bu yao ! Zhen bu yao !” yang bermaksud “Minta maaf, saya cakap tidak mahu ! Sangat tidak mahu !” dan kalau tidak berkesan juga, katakan kepada mereka “Hao lah ! Wo mei qian. Zhen dui bu qi, xie xie ni !” yang bermaksud “Baiklah, saya tiada duit. Saya minta maaf sangat – sangat. Terima kasih !” dan kalau itu masih tiada berkesan juga, teruskan berjalan seperti biasa dan tidak perlu endahkan penjual jalanan tersebut. Harus diingat, jangan berkasar dengan mereka walaupun anda merasa rimas diekori mereka dan jangan meninggikan suara sebaliknya buat tidak tahu sahaja. B-) .

Semasa kami berjalan kaki menuju ke Dataran Tian An Men, aku dapati ramai tentera melakukaan rondaan dengan uniform musim dingin khas untuk pasukan tentera mereka. Begitu juga dengan pasukan polis yang turut memakai uniform musim dingin. Setibanya kami di Dataran Tian An Men, kami mengambil peluang untuk menangkap gambar pemandangan Dataran Tian An Men & bergambar bersama – sama di dataran tersebut. Kalaulah Dataran Merdeka Kuala Lumpur, Dataran Bandaraya Johor Bahru & Dataran Penggaram Batu Pahat sebesar Dataran Tian An Men, bolehlah anjurkan Jom Heboh, Konsert Double Trouble dan lain – lain acara yang ‘GRAND!’ di dataran – dataran tersebut. B-) .

Selepas sesi bergambar, kami meneruskan lagi perjalanan kami menuju ke Kota Larangan. Oleh kerana jalanraya agak sibuk, kami dibawa oleh Maggie Ma melalui terowong bawah tanah untuk menuju ke Kota Larangan tanpa perlu menyeberangi jalanraya yang sibuk. Setibanya kami di Kota Larangan, aku ternampak gambar Mao Zedong digantung di tengah – tengah pintu masuk utama Kota Larangan. Kami meneruskan perjalanan untuk masuk ke Kota Larangan. Kota Larangan dahulunya merupakan istana Maharaja sehinggalah era empayar dinasti Qing runtuh, politik China telah memasuki era baru apabila sistem empayar diganti dengan sistem republik komunism. Setelah berakhirnya pemerintahan monarki di negara itu, Kota Larangan tersebut dibuka kepada orang awam untuk dikunjungi sebagai destinasi pelancongan. Besar juga Kota Larangan ini kerana terasa seperti sudah sejam kami mengelilingi Kota Larangan ini. Walaupun Kota Larangan ini sangat besar, pemandangan tempatnya masih lagi cantik & indah. Sewaktu kami masuk ke Kota Larangan, terdapat tentera sedang melakukan acara kawad kaki. Aku hanya sekadar memerhatikan formasi kawad kaki yang dilakukan oleh anggota tentera China di Kota Larangan tersebut.

Setelah selesai bersiar – siar di sekitaran Kota Larangan, kami pun segera beredar menuju ke bas persiaran kami untuk menjamah makan tengahari di sebuah restoran muslim halal. Setibanya kami di restoran tersebut 2 – 3 orang peniaga yang kelihatan beretnik Xinjiang / Barat Laut China menjual snek tradisional mereka sambil melaungkan “Rasa, rasa ! Halal, halal !” di luar restoran tersebut. Emak aku beli snek tersebut dan masuk ke dalan restoran untuk menjamah makan tengahari. Selesai makan tengahari, kami pun keluar menuju kea rah bas. Terdapat seorang makcik warga tempatan ini menjual cadar meja yang kelihatannya tenunan dari barat laut China sebab macam pernah tengok corak demikian di ‘Google’. Selesai mereka membeli cadar tersebut, mereka semua masuk ke dalam bas & setelah ada semuanya, barulah kami berangkat menuju ke Masjid Ma Dian untuk solat Zohor.

Seperkara yang menarik apabila menunaikan solat di masjid – masjid yang terdapat di bumi China dalam suasana cuaca dingin, tempat wudhuk air panas disediakan akan tetapi airnya sangat panas. Oleh yang demikian untuk suamkan air tersebut, kami mengambil botol air mineral yang kosong dan kami isi setengah air paip sejuk dan setengah air paip panas, lalu kami tutup botol dengan penutup botol lalu kami goncangkan dan kami gunakan air tersebut sebagai air wudhuk. Setelah selesai mengambil wudhuk, Kami masuk ke dalam masjid untuk menunaikan solat. Di Malaysia, apabila orang Melayu Islam & orang Cina Islam melakukan solat berjemaah bersama – sama, yang akan menjadi imam kebiasaanya ialah orang Melayu Islam tetapi di sini adalah sebaliknya. B-) .

Setelah selesai menunaikan solat Zohor, kami pun beredar meninggalkan masjid untuk menuju masuk ke dalam bas persiaran yang menunggu kami di luar masjid. Semasa hendak meninggalkan masjid tersebut, aku telah memberi sedekah kepada salah seorang AJK masjid tersebut menggunakan matawang Renminbi Yuan China & Ringgit Malaysia. Kenapa aku memberi sedekah menggunakan 2 matawang & bukannya satu matawang sahaja? Ini jawapannya > Di China, pemerintah mereka telah menambatkan matawang Renminbi Yuan China hanya kepada Dollar Amerika Syarikat sahaja. Oleh itu sekiranya aku hanya memberi sedekah menggunakan matawang Ringgit Malaysia sahaja, ini akan menyulitkan mereka untuk membuat pertukaran matawang di negara mereka dan sekali gus berkemungkinan boleh mengurangkan pahala sedekah aku kerana telah menyulitkan mereka. Sebab itu aku memberi sedekah menggunakan 2 matawang yang mana sedekah yang menggunakan matawang Renminbi Yuan China boleh mereka belanjakan & sedekah yang menggunakan matawang Ringgit Malaysia pula mereka boleh abadikan sebagai tanda kenang – kenangan bagi mengeratkan siratulrahim umat Islam tanpa mengira latar belakang negara, bangsa, budaya & individu itu sendiri di seluruh pelusuk dunia. B-) . Menurut Maggie Ma, majoriti masyarakat Islam di China adalah beretnik Hui walaupun majoriti warga China adalah beretnik Han. Etnik Hui ramai didapati di wilayah – wilayah barat daya China seperti Xinjiang, Qinghai, Gansu & Ningxia.



Destinasi yang berikutnya setelah selesai menunaikan solat Zohor di Masjid Ma Dian ialah menuju ke Famous Silk Centre untuk tujuan membeli – belah sutera China. Sebelum aktiviti membeli sutera China dimulakan, kami diberi penerangan ringkas terlebih dahulu tentang bagaimana proses pembikinan sutera China dilaksanakan dalam Bahasa Inggeris.Semasa aku berjalan–jalan di dalam bangunan Famous Silk Centre, aku terserempak dengan gambar mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, Tun Dr Mahathir Mohammad bersalaman dengan mantan Presiden Republik Rakyat China, Jiang Zemin yang digantung pada dinding bangunan tersebut. Sesudah penerangan ringkas diberikan, barulah aktiviti membeli sutera China dimulakan oleh golongan – golongan hawa. Setelah puas memborong sutera China semampu yang boleh, tibalah masanya kami ke destinasi berikutnya.

Kemanakah destinasi kita yang berikutnya? Kita ke Fresh Water Pearl Center. Masih lagi dengan aktiviti membeli–belah tetapi kali ini aktiviti membeli mutiara. Sama seperti Famous Silk Centre, sebelum aktiviti membeli–belah bermula, penerangan ringkas mengenai mutiara China diberikan terlebih dahulu sebagai pembuka mukadimah dan diselitkan juga ‘ayat–ayat marketing’ untuk mencairkan golongan hawa membeli –belah di situ. B-).

Selesai membeli–belah di Fresh Water Pearl Center, aktiviti membeli–belah diteruskan lagi tetapi kali ini kami dibawa ke Sunny Gold Street Market. Di sana tiada penerangan ringkas seperti mana 2 destinasi membeli–belah sebentar tadi, B-). Di sini terdapat pakaian, baju, seluar, kasut, permainan, gajet dan lain–lain tetapi secara keseluruhannya, pakaian, baju, seluar & kasutlah yang paling banyak dijual di sini.

Kalian tentu pernah mendengar rakan – rakan atau ahli keluarga kalian yang baru pulang dari China mengatakan barang – barang di China murah. Ya, barang – barang di China memang murah tetapi perlu diingatkan di sini, kalian perlu tawar – menawar dan membuat ‘survey’ terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli. Ini adalah kerana mereka di sana tahu kalian adalah pelancong & sebaik sahaja kalian menjejakkan kaki ke kedai mereka, harga barang terus dinaikkan bagi mengaut keuntungan yang berkali ganda. Ini yang berlaku kepada rombongan kami & bahkan juga aku percaya kepada pelancong lain. Sebaik sahaja aku masuk ke dalam bangunan Sunny Gold Street Market itu, aku dapati harganya sedikit mahal walaupun kami telah tukarkan nilai Renminbi Yuan China kepada Ringgit Malaysia untuk membuat perbandingan. Bertambah parah apabila tiada tanda harga diletakkan di kedai mereka yang membolehkan peniaga – peniaga di sini meletakkan harga ikut sedap mulut mereka sahaja. B-) .

Untuk lawan tawar – menawar, kalian perlu mematikan perasaan untuk seketika kerana mereka seboleh – bolehnya mahu menjual mahal kepada anda dengan bermacam cara psikologi yang digunakan seperti “ You crazy arrr ? Can’t not with this price lah. I’m death you know !”. Hebat betul lakonan mereka. B-) . Adakalanya apabila kami sudah hampir hendak membayar, tiba – tiba tidak jadi membeli & keluar dari situ, bersedialah dengan kata – kata makian daripada peniaga dalam Bahasa Mandarin seperti “Bendan!” yang bermaksud Bodoh, “Shang Qing Ping !” bermaksud Gila & bermacam – macam lagi kata makian. B-). Nasihat aku, kalau kalian tiada niat untuk membeli – belah, seeloknya jangan buat begitu kerana ini akan menyakitkan hati mereka walaupun kalian mempunyai hak untuk tidak membeli setelah hampir hendak membayar tetapi tidak jadi membeli akhirnya.

Terdapat beberapa peniaga yang tidak fasih berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu mahupun Bahasa Indonesia. Bagi pelancong yang boleh berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin walaupun sedikit, mungkin tidak menghadapi masalah untuk berbicara dengan peniaga tetapi bagi mereka yang tidak tahu berkomunikasi dalam Bahasa Mandarin, isyarat tangan & kalkulator sahajalah cara yang ada untuk berkomunikasi.

Seperkara lagi apabila kalian hendak membeli – belah di bumi China, pastikan kalian tidak keseorangan kerana dikhuatiri kalian akan dikepung oleh peniaga – peniaga yang kelihatan memujuk kalian secara paksa untuk membeli barang di kedai mereka. Pastikan kalian sekurang – kurangnya berdua dengan rakan atau ahli keluarga kalian.

Kalian mempunyai hak untuk tawar–menawar di bumi China kerana kebanyakkan barang – barang yang dijual adalah tiruan daripada pakaian hinggalah kepada barang – barang elektronik (Bahkan iPhone, iPad & Blackberry sekali pun tiruan). B-). Melihat pelancong bertekak & bergaduh tawar menawar dengan peniaga adalah perkara biasa di China. Ia bukan sahaja terhad kepada pelancong Malaysia tetapi pelancong Eropah juga sama. B-) .

Setelah sejam berada di dalam bangunan Sunny Gold Street Market, aku pun mengambil keputusan untuk berehat di luar bangunan tersebut. Masih ramai antara kami berada di dalam bangunan Sunny Gold Street Market untuk membeli–belah. Walaupun Beijing semakin maju ke hadapan tetapi bilangan pengemis juga bertambah. Ada beberapa pengemis datang ke arah aku untuk meminta sedekah & aku pun berikan beberapa Yuan kepada mereka tanpa banyak bicara. Aku merasa hairan kenapa Beijing yang lebih maju daripada Kuala Lumpur mempunyai peminta sedekah yang agak ramai. Maggie Ma menjelaskan bahawa bukan Beijing sahaja yang maju tetapi kota–kota metropolis utama China yang lain juga turut maju. Menurutnya lagi, walaupun dari semasa ke semasa China bertambah maju dengan berdiri banyak bangunan–bangunan tinggi & moden tetapi hakikatnya bilangan golongan miskin semakin bertambah. Ini adalah kerana di China, tiada golongan kelas pertengahan. Yang ada hanya golongan kaya & golongan miskin sahaja tidak seperti di Malaysia yang mempunyai golongan kelas pertengahan iaitu tidak miskin tetapi juga tidak kaya. Menurut Maggie Ma lagi, golongan kaya di China tersangatlah kaya–raya & golongan miskin pula tersangatlah fakir.

Itulah sebabnya banyak pembangunan didirikan serta dimajukan di China kerana pembangunan itu hanyalah untuk golongan elit sahaja & bukanlah untuk rakyat China secara keseluruhannya. Golongan miskin terpaksa bekerja kuat hanya untuk meneruskan survival hidup mereka yang perit itu. Aku meneruskan sembang aku dengan Maggie Ma & bertanya “Kalau sudah begitu rupanya, kenapa pertumbuhan ekonomi negara China sangat luar biasa?” dan Maggie Ma menjawab “Kalau sudah ramai rakyat China yag miskin bekerja kuat untuk meneruskan survival hidup mereka & sekaligus mengkayakan lagi golongan kaya-raya di bumi China, bagaimana tidak pertumbuhan China tidak menjadi begitu luar biasa?” kemudian Maggie Ma menambah “Kami disini walaupun miskin, apa yang kami boleh buat selain bekerja kuat untuk meneruskan survival hidup? Negara kami bukanlah sebuah negara demokrasi yang membolehkan kami meyuarakan pandangan kami apatah lagi membuat demonstrasi jalanan” Aku terdiam seketika. Aku mula memikirkan tentang Negaraku, Malaysia. Tiba – tiba rasa kesyukuran itu mula terbit di sanubari ini. Semasa mula – mula aku menjejakkan kaki ke bumi Beijing, China ini, aku sudah mula merasa kagum dengan kemajuan yang mereka kecapi sehingga aku menyelar & mengecam negara sendiri tetapi ternyata negara aku mempunyai keunikannya tersendiri dalam membawa rakyatnya ke mercu kegemilangan.

Setelah semuanya puas membeli–belah, kami pun segera menuju ke bas persiaran kami untuk pergi ke restoran muslim halal untuk makan malam. Dalam perjalanan bas persiaran kami menuju ke restoran tersebut, aku perhatikan rakanku sedang memasukkan kad sim talian tempatan ke dalam telefon bimbitnya. Untuk pengetahuan kalian semua, sekiranya talian telefon bimbit kalian tiada ‘roaming’ tidak kiralah kalian pengguna Maxis, Celcom, DiGi, U Mobile atau Tune Mobile, kalian bolehlah membeli kad sim prabayar di sana untuk telefon atau sms. Aku menggalakkan kalian menggunakan talian China Mobile kerana liputannya yang lebih luas semasa berada di China. B-).

Setibanya kami ke destinasi yang berikutnya untuk makan malam, semua muka ceria semacam. Maklumlah setelah penat membeli – belah, akhirnya perut yang lapar dapat dikenyangkan. Selesai makan malam, kami berangkat pulang ke hotel dengan menaiki bas persiaran kami. Setibanya kami di hotel, kami balik ke bilik masing – masing tetapi ada antara kami tida terus melenakan diri. Emak aku mengajak aku keluar cari makanan seperti buah untuk dimakan. Kami keluar berjalan kaki & lebih kurang 500 meter dari bangunan hotel, terdapat gerai buah. “Lao ban niang, zhe ge duo qian ma?” (Bos, ini buah, berapa harga?) Aku bertanya kepada peniaga tersebut berapa harga sekotak strawberi yang terdapat di situ. “Na ge, yi xiang, yi shi ba kuai!” (Itu, satu kotak, harganya 18 yuan > lebih kurang RM9.00 duit Malaysia sekotak). “Ok, er xiang !” (Ok, 2 kotak!). Seorang warga tempatan memuji kebolehan aku berbahasa Mandarin dan bertanyakan aku datang dari negara mana & aku menjawab “Wo shi Malaixiya ren!” (Saya orang Malaysia!).

Melihat warga tempatan ini, aku rasa banyak juga yang beliau tahu mengenai Malaysia sebab beliau tanya aku bangsa apa? Melayu, Cina India atau apa? Aku cakap “Wo shi Malai ren buguo wo you de gong gong shi muslim hua ren !” (Saya orang Melayu tetapi saya ada atuk Cina Muslim). Seperti yang aku pernah nyatakan sebelum ini yang aku hanya boleh berbicara dalam Bahasa Mandarin hanya sedikit–sedikit & apabila warga tempatan itu terus berbicara dalam Bahasa Mandarin, aku menjawab “Shemian? Oppps, dui bu qi. Wo wang le. Wo keyi shuo hua wen yi dian dian. Wo bu mingbai ni xian zai shuo ge wo!” (Pardon? Opss, minta maaf, saya terlupa yang saya hanya boleh berbicara dalam Bahasa Mandarin sedikit–sedikit. Saya tidak faham apa yang awak cakap dengan saya sekarang.). Warga tempatan itu kata tidak apa & apa yang aku cakap tadi sudah cukup bagus. Itu katanya.

Setelah selesai membeli buah, aku & emak aku pun pergi ke kedai runcit yang berhampiran untuk membeli air berkarbonat. Di sini, kami tidak ragu – ragu untuk membeli air minuman berbanding membeli makanan kerana kami yakin air minuman di sini adalah halal tanpa was - was ( Tidak termasuk air beralkohol. Kalau aku tak cakap takut ada antara kalian yang membaca blog ini bendul sangat, B-D ). Setelah selesai beli buah & air minuman, kami balik semula ke bilik masing – masing. Aku menjamah sedikit strawberi sebelum aku melenakan diri. Jom TIDUR ! Wan An ! (Selamat Malam!).

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...