30/01/2011, Ahad….. Hari Pertama, Ni Hao Zhong Guo!
Dicatat oleh
iFaizi
di
12:05 AM
Friday, February 11, 2011
30/01/2011, Ahad….. Hari Pertama, Ni Hao Zhong Guo!
Bunyi enjin diesel bas yang riuh membuatkan aku terjaga dari lena, seperti yang dijanjikan, bas tiba tepat jam 12.00 pagi (ikut jam tangan aku lah ! jam tangan orang lain, aku tidak tahu tepat atau tidak). Hujan masih lagi membasahi bumi pada ketika itu tetapi kali ini sedikit renyai berbanding lebat beberapa jam sebelumnya. Walaupun masih hujan, kami tetap terus memasukkan bagasi – bagasi kami dalam bonet bas yang disediakan. Setelah semua bagasi dimasukkan, kami masuk ke dalam bas dan setelah lengkap kesemuanya di dalam bas, kami pun segera berangkat menuju ke Terminal LCCT KLIA dari Johor Bahru.
Sepanjang perjalanan kami menuju ke Terminal LCCT KLIA, ramai di antara kami termasuk aku meneruskan agenda untuk melenakan diri di dalam bas sementara menunggu sampainya kami ke destinasi yang hendak dituju iaitu Terminal LCCT KLIA, Sepang. Kami berhenti rehat seketika di Kawasan Rehat & Riadah (R&R) Machap untuk minum dan makan, cukup sekadar untuk alas perut sahaja sebelum meneruskan perjalanan ke Terminal LCCT KLIA, Sepang.
Kami tiba di Terminal LCCT KLIA, Sepang lebih kurang pukul 5.30 pagi. Walaupun baru pukul 5.30 pagi, Terminal LCCT sudah sesak dengan jumlah manusia yang ada di terminal itu. Sangat ramai dan sibuk ! Sementara menunggu giliran untuk daftar masuk (check–in), aku sekeluarga pergi ke Marrybrown di terminal itu untuk menikmati sarapan pagi.
Secara kebetulan, selesai sahaja kami sekeluarga menjamah sarapan pagi, giliran rombongan kami pula untuk daftar masuk ke kaunter penerbangan Air Asia. Agak memenatkan beratur panjang untuk daftar masuk penerbangan tapi keterujaan kami mengatasi jua kepenatan itu. Setelah selesai daftar masuk penerbangan dan juga daftar masuk bagasi, seperti biasa prosedur pemeriksaan keselamatan dijalankan dan pemeriksaan passport juga dilaksanakan. Setelah selesai prosedur pemeriksaan keselamatan dijalankan ke atas kami, kami pun menuju ke ruang menunggu untuk berlepas.
Sementara menunggu untuk masuk ke dalam pesawat, kami singgah sebentar ke kedai coklat bebas cukai untuk membeli beberapa coklat untuk dijamah di dalam pesawat (Kami sorokkan coklat dalam beg galas kami, B-P). Terdapat juga beberapa orang dari rombongan kami pergi melepaskan hajat di tandas yang berhampiran. Mungkin tidak biasa guna tandas dalam pesawat agaknya. B-) .
Apabila pengumuman dibuat tentang penerbangan kami, aku sekeluarga dan beberapa keluarga lain dalam rombongan kami segera menuju ke pintu berlepas untuk pemeriksaan tiket. Ketika itu, hujan masih lagi membasahi bumi Malaysia ini. Untung sahaja apabila Air Asia ada menyediakan payung untuk menuju ke pintu pesawat dari pintu berlepas terminal. Apabila sampai ke tempat duduk, aku memilih untuk duduk di tepi tingkap memandangkan aku suka tengok pemandangan luar. Walaupun ini bukanlah penerbangan kali pertama aku tetapi ini adalah penerbangan kali pertama aku bersama Air Asia dan juga penerbangan antarabangsa kali pertama aku. Apa yang boleh aku katakan tentang Air Asia ialah tempat duduknya agak sedikit kecil berbanding penerbangan Malaysia Airlines (dahulunya dikenali sebagai Malaysia Airlines System, MAS). Namun aku tidaklah begitu hairan kerana harga tiket Air Asia jauh lebih murah berbanding Malaysia Airlines. Orang kata ada harga, ada rupa. Faham sendirilah maksudnya. B-) .
Seperti mana – mana penerbangan lain, demo keselamatan ditunjukkan terlebih dahulu sebelum berlepas dengan kapten memberi penerangan suara dan pramugari / pramugara memberi penerangan secara visual. Sesudah demo keselamatan diberikan, pesawat Air Bus milik Air Asia itu sedia berlepas. Jam tangan aku menunjukkan waktu pukul 8.30 pagi. Seperti dimaklumkan oleh kapten juruterbang pesawat tersebut, penerbangan mengambil masa 6 jam untuk tiba ke Lapangan Terbang Antarabangsa Tianjin–Binhai (TBIA). Sepanjang penerbangan, ramai antara kami termasuk aku lena di kerusi masing–masing. Penerbangan 6 jam tanpa berbuat apa–apa aktiviti kesukaan seperti sms, telefon, melayari internet, bermain PSP dan seumpanya sudah tentunya mengundang kebosanan. Oleh yang demikian, sudah tentulah mereka tiada pilihan lain melainkan lena sahaja. Sebelum aku terlena, aku menikmati pemandangan angkasa yang begitu cantik dengan awannya yang putih suci.
Apabila tiba waktu makan, ramai antara kami terjaga dengan sendirinya kerana kapten juruterbang telah memaklumkan kepada kami 10 minit sebelum makanan mula dijual. Tidak seperti Malaysia Airlines yang mana pakej makanan telah dimasukkan sekali dalam harga tiket, Air Asia adalah sebaliknya. Jangan terkejut kalau anda perlu membayar RM6.00 untuk sekadar menikmati mee segera Maggi Cawan (Maggi Cup) sahaja. Selain Ringgit Malaysia, makanan & minuman yang terdapat di situ boleh dibayar menggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat & Renminbi Yuan China. Selain makanan & minuman, terdapat juga barangan lain yang dijual di dalam pesawat tersebut seperti topi Air Asia, key – chain Air Asia dan lain–lain lagi. Akan tetapi, sekiranya anda sayang duit anda, saya nasihatkan tidaklah perlu membelinya kerana anda boleh geleng kepala melihat harganya. B-) .
Jam tangan saya menunjukkan pukul 2.30 petang. Waktu di Malaysia dan waktu di China adalah sama memandangkan kedudukan menegaknya yang sama & selari. Kapten juruterbang memaklumkan yang kami sudah berada di ruang angkasa Tianjin dan pesawat tersebut bersedia untuk mendarat pada bila – bila masa dari sekarang setelah mendapat keizinan dari menara kawalan TBIA untuk mendarat di landasan TBIA.
Cuaca di luar kelihatan agak terik pada mata pandangan aku. Setelah mendarat & pesawat telah pun berhenti sepenuhnya, kami keluar dari pintu pesawat dan aku dapati cuaca agak dingin semacam. Mulanya aku fikirkan penyaman udaranya yang begitu sejuk di bangunan lapangan terbang tersebut tetapi rupanya memang cuaca di Tianjin begitu sejuk sekali (Kalah Genting Highlands). Pengajarannya > Jangan tertipu dengan pemandangan cuaca yang seakan panas terik dengan matahari memancar seakan–akan cuaca sememangnya sangat panas terik. Walaupun telah memakai jaket berlapis–lapis tetapi ternyata kedinginannya masih terasa. Kami serombongan menuju ke kaunter pemeriksaan pasport di lapangan terbang tersebut. Walaupun ramai orang sedang beratur untuk pemeriksaan passport & visa, pengurusan lapangan terbang & pegawai imigresen sangat efisien tanpa banyak kerenah birokrasi dan apabila melihat ramai orang sedang beratur untuk pemeriksaan passport & visa, kaunter lain dibuka untuk mempercepatkan urusan pemeriksaan passport & visa.
Setelah selesai pemeriksaan passport & visa, kami segera ke tempat pemunggahan bagasi untuk mengambil bagasi kami. Setelah mengambil bagasi kami, kami melalui pula pengimbas badan dan pengimbas barang sehinggalah ke ruang legar am lapangan terbang tersebut. Aku dapati tiada masalah kerenah birokrasi sepanjang melalui pelbagai prosedur di lapangan terbang tersebut. Memang terbaiklah ! Maggie Ma, tour guide kami telah menunggu di ruang legar am lapangan terbang tersebut untuk membawa kami ke Beijing. Maggie Ma adalah tour guide yang didatangkan dari Halal Tours (China) dan Tiram Travel (Malaysia). Apa yang menarik tentang China kini, ramai rakyat China boleh berbicara dalam Bahasa Melayu Nusantara terutama sekali Bahasa Indonesia. Maggie Ma boleh berbahasa Indonesia dan memandangkan Bahasa Melayu Malaysia dan Bahasa Indonesia tidak banyak bezanya dari segi kosa kata (Ibarat Bahasa Mandarin & Bahasa Kantonis), maka tiadalah masalah bagi kami untuk saling memahami dan berkomunikasi.
Kami dibawa menuju ke bas persiaran yang akan membawa kami ke ibu negara Republik Rakyat China iaitu Beijing. Kami keluar dari pintu utama lapangan terbang tersebut menuju ke bas persiaran kami dan cuaca di luar bangunan lapangan terbang ini ternyata lebih dingin berbanding di dalam bangunan lapangan terbang tersebut. Oleh kerana tiada tahan sejuknya, maka aku segera berjalan cepat untuk menuju masuk ke dalam bas persiaran. Setelah bagasi dimasukkan ke dalam bonet bas persiaran dan kami semua telah masuk ke dalam bas persiaran tersebut, bas pun mula bergerak. Maggie Ma memaklumkan kepada kami perjalanan dari bandaraya Tianjin menuju ke bandaraya Beijing mengambil masa 2 jam (lebih kurang seperti Johor Bahru ke Melaka atau Kuala Lumpur ke Muar). Jam tangan aku menunjukkan pukul 3.00 petang dan aku jangkakan kami akan sampai ke ibukota Beijing pada pukul 5.00 petang nanti.
Sepanjang perjalanan menuju ke ibu kota Beijing, aku menikmati pemandangan negara China yang boleh tahan indahnya sambil menangkap beberapa keping gambar. Setengah jam yang pertama perjalanan kami menuju ke ibukota Beijing, Maggie Ma memberi penerangan asas tentang bumi China dari sudut sosial, politik & ekonomi. Ramai antara kami tidak melelapkan mata termasuk aku kerana ingin mengambil peluang yang baik ini bagi menikmati pemandangan bumi China yang lain daripada yang lain tidak seperti pemandangan di Malaysia yang telah menjadi kebiasaan bagi kami, B-) .
Seperti yang dijangkakan, tepat pukul 5.00 petang, kami akhirnya telah memasuki ibu kota Beijing. Pemandangan bandaraya metropolis Beijing sangat cantik & moden. Sukar untuk aku percayai bahawa ini adalah Beijing yang ditadbir oleh negara komunism seperti China. Siapa kata negara komunis tidak boleh maju ke hadapan? Tetapi apa yang dimaklumkan oleh Maggie Ma, walaupun China semakin lama semakin maju, tetapi nikmat kebebasan masih belum dapat dirasai sepenuhnya oleh rakyatnya seperti kebebasan bersuara, kebebasan untuk membuat pilihan dan bermacam lagi. Laman jaringan sosial seperti Facebook dan laman enjin carian seperti Google telah diharamkan di China walaupun isu sensitif yang melibatkan dasar pemerintahan di China dan permasyarakatan di sana yang telah diposkan di Facebook & Google hanya bersifat segelintir ‘minoriti’.
Jam tangan aku menunjukkan sudah pukul 5.30 petang. Seperti yang aku nyatkan sebelum ini, waktu di China dan waktu di Malaysia sama sahaja tetapi pukul 5.30 petang di Beijing ini seperti sudah pukul 7.30 malam di Malaysia (saatnya senja). Kami berhenti & singgah di sebuah restoran muslim halal untuk menjamah makan malam. Ternyata, makanan yang disajikan untuk kami boleh tahan enaknya.
Setelah selesai menjamah makan malam, kami meneruskan perjalanan kami ke Jin Sha Theatre untuk menikmati pementasan muzikal akrobatik. Sesampainya kami di sana, terdapat seorang penjual keledek rebus mempromosikan keledek rebusnya dalam Bahasa Melayu “Sepuluh, sepuluh Yuan !” Ramai antara kami sekadar tersenyum sahaja melihat gelagat penjual itu berbahasa Melayu. Itu sahaja perkataan Bahasa Melayu yang penjual itu ketahui. Aku dan beberapa rakan ku yang lain turut membeli keledek rebus itu. Sedap juga menikmati keledek rebus yang panas dan manis apatah lagi ketika cuaca malam yang bertambah dingin. SYOK WOOO !!!
Kami masuk ke dalam bangunan Jin Sha Theatre. Sebelum masuk ke dewan pementasan, terdapat seorang peniaga yang menjual topi, sarung tangan dan beberapa aksesori pakaian musim dingin di ruang lobi bangunan tersebut. Boleh tahan murah, kami pun tak melepaskan peluang untuk membeli. Sesudah membeli topi musim dingin, aku terus masuk ke dalam dewan pementasan dan mengambil tempat duduk. Setelah semuanya berada di dalam dewan pementasan, persembahan akrobatik pun bermula. Aku dapati selain daripada rombongan kami, terdapat juga rombongan dari agensi pelancongan yang lain. Terdapat juga warga Eropah yang menonton pementasan akrobatik itu. Menarik juga pementasan muzikal akrobatik terutama sekali bahagian penunggang motorsikal di dalam sangkar besi. Sungguh menggagumkan.
Setelah selesai pementasan muzikal akrobatik itu, kami keluar dari bangunan tersebut untuk menaik bas dan menuju ke Hotel Chang Feng. Ketika keluar dari bangunan Jin Sha Theatre itu, aku dapati penjual keledek rebus itu masih ada di situ. Aku membeli lagi keledek rebus dan masuk ke dalam bas. Setelah semuanya ada di dalam bas, kami menuju ke Hotel Chang Feng untuk daftar masuk dan menginap di situ untuk 5 hari 5 malam bermula malam itu > hari Ahad (malamnya), 30/06/2011.
Setibanya kami ke Hotel Chang Feng yang terletak di dalam daerah Feng Tai, Beijing, kami terus memunggah bagasi kami dan letakkannya di ruang lobi hotel sementara menunggu daftar masuk dan mendapatkan kunci bilik. Setelah selesai daftar masuk dan mendapatkan kunci bilik masing – masing, Maggia Ma memaklumkan kepada kami bahawa esok pagi, kami akan menaiki bas pada pukul 8.30 pagi untuk ke beberapa destinasi menarik yang terdapat di sekitaran ibu kota Beijing. Selesai makluman tersebut, kami terus menaiki lif dan menuju ke bilik masing – masing untuk mandi, salin pakaian, merehatkan diri dan terus melenakan diri untuk cergas esok harinya. Aku ditempatkan sebilik dengan adik lelaki aku manakala ibu – bapa aku sebilik dan 2 adik perempuan aku sebilik. Dalam erti kata lain satu bilik menempatkan 2 – 3 orang untuk rombongan kami mengikut kesesuaian.
Sebelum aku melenakan diri, aku caj telefon bimbit aku terlebih dahulu walaupun bukannya boleh guna sangat pun (caj perantauan aka roaming di sana mahal tanpa mengira sama ada membuat panggilan keluar atau menerima panggilan masuk) dan juga aku caj bateri untuk kamera digital aku. Sesudah caj telefon bimbit dan bateri kamera digital, aku terus hidupkan televisyen untuk menonton saluran televisyen yang terdapat di China. Puas aku menukar saluran berkali – kali tetapi tidak ada satu pun program & segmen televisyen berbahasa Melayu apatah lagi saluran televisyen khas berbahasa Melayu di China (Walaupun tiada warganegara China berbangsa/berketurunan Melayu Nusantara tetapi terdapat ramai juga warga Melayu Nusantara dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan dari serata Asia Tenggara belajar, bekerja dan menetap di negara China). Nasib baik aku faham sedikit Bahasa Mandarin. Itulah untungnya dan bagusnya bumi Malaysia. Walaupun masyarakat Malaysia majoriti berbangsa Melayu tetapi ada juga saluran khas untuk bangsa lain seperti Cina & India dan terdapat juga segmen & program televisyen berbahasa asing di Malaysia selain Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil & Bahasa Inggeris. Satu – satunya saluran televisyen selain Bahasa Mandarin di China ialah saluran CCTV News (dahulunya dikenali sebagai CCTV 9) yang disiarkan 100% dalam Bahasa Inggeris. Sesudah setengan jam menonton televisyen, aku mematikan televisyen untuk melelapkan mata. Inilah kali pertama dalam sejarah hidup aku apabila aku tidur di hotel tidak membuka penyaman udara. Kenapa tidak buka penyaman udara? Tak panaskah? Ini jawapan aku > Lagi mahu tanyakah? Sendiri mahu ingatlah. Baiklah, aku hendak masuk tidur. Wo hen lei, wo yao shui. Wan an ! (Aku sangat penat, aku hendak tidur. Selamat malam !).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Donation/Derma
Are you satisfy & happy with the contents in this blog? We are glad that you are satisfy and happy with the contents in this blog. We appreciate for every donation that you give it to us. To donate... You can simply click the donation button below. Once again... Thank you for your donation.
Anda berpuashati dan gembira dengan kandungan di dalam blog ini? Kami gembira yang anda berpuashati dan gembira dengan kandungan di dalam blog ini. Kami menghargai setiap derma yang anda hulurkan kepada kami. Untuk menderma... Anda boleh klik butang derma (donate) di bawah ini. Sekali lagi... Terima kasih atas derma anda.
Anda berpuashati dan gembira dengan kandungan di dalam blog ini? Kami gembira yang anda berpuashati dan gembira dengan kandungan di dalam blog ini. Kami menghargai setiap derma yang anda hulurkan kepada kami. Untuk menderma... Anda boleh klik butang derma (donate) di bawah ini. Sekali lagi... Terima kasih atas derma anda.
Followers
Pages
Pesan Penaja
Total Pageviews
Translate
Categories
- Anime Manga (2)
- Bahasa Melayu (36)
- Batu Pahat (2)
- Beijing 2011 (18)
- Cerpen (2)
- Certot (2)
- Chillaxlah (4)
- English (16)
- Faizi Menaip (13)
- Gokil (2)
- Greeting (1)
- Johor Darul Takzim (4)
- Karya (5)
- Malaysia (6)
- Movie (2)
- Percutian (10)
- Salam Perkenalan (1)
- Santai Kedai Kopi (3)
- Santai Pagi (1)
- Tentang Kami About Us (2)
- Vacation (10)
Popular Posts
-
Bani Pribumi Melayu asalnya bukanlah sebuah bangsa yang wujudnya bangsa ini terus beragama Islam. Bani Pribumi Melayu sebelum beragama Isl...
-
Last weekend, I brought my 3 siblings to watch movie at BigCinemas BP Mall (Batu Pahat, Johor Darul Takzim, MALAYSIA). We watch the lates...
-
Hai kepada semua yang sedang membaca blog aku ini... pos aku kali ini... aku nak bercerita tentang asal-usul perkataan sakti dan hampir ke...
-
30/01/2011, Sunday….. 1st Day, Ni Hao Zhong Guo! The noisy bus diesel engine make me awake from my sweet sleep, As promised, the bus ...
-
Sepanjang kehidupan aku sampai pada ketika ini... banyak perkara yang aku lalui dan hadapi di persekitaran aku... ramai jenis orang yang te...
-
Pencipta Crayon Shin Chan, Yoshito Usui yang telah pergi buat selama-lamanya pada 11 September 2009. Dilahirkan pada 21 April 1958 di dae...
-
Di waktu petang di sebuah kafe di tengah kota metropolitan London… 3 orang pemuda dari Asia Selatan sedang menikmati minum petang. Kelihata...
-
06/02/2011, Sunday….. Johor Bahru, I’m home! For this entry, there are not so mmany I can write here because the story that I want to t...
-
This blogpost is intended specially to readers of this blog who want to know about the simple mention of the country especially to non-Ma...
-
Baiklah, oleh kerana aku baru memulakan blog ini, maka adalah lebih baik aku mulakan dengan sesuatu yang mudah untuk aku taip di sini. ...
Facebook Page
iFaizi @Twitter
Labels
- Anime Manga (2)
- Bahasa Melayu (36)
- Batu Pahat (2)
- Beijing 2011 (18)
- Cerpen (2)
- Certot (2)
- Chillaxlah (4)
- English (16)
- Faizi Menaip (13)
- Gokil (2)
- Greeting (1)
- Johor Darul Takzim (4)
- Karya (5)
- Malaysia (6)
- Movie (2)
- Percutian (10)
- Salam Perkenalan (1)
- Santai Kedai Kopi (3)
- Santai Pagi (1)
- Tentang Kami About Us (2)
- Vacation (10)
Blog Archive
-
▼
2011
(18)
-
▼
February
(18)
- 06/02/2011, Sunday….. Johor Bahru, I’m home!
- 05/02/2011, Saturday….. Last Day, Zai Jian Zhong...
- 04/02/2011, Friday….. Day 6 Beijing–Tianjin Tours.
- 03/02/2011, Thursday….. Day 5 Beijing–Tianjin To...
- 02/02/2011, Wednesday….. Day 4 Beijing–Tianjin T...
- 01/02/2011, Tuesday….. 3rd day Beijing–Tianjin T...
- 31/01 /2011, Monday….. 2nd day Beijing–Tianjin T...
- 30/01/2011, Sunday….. 1st Day, Ni Hao Zhong Guo!
- 29/01/2011, Saturday….. Preparation To China…..
- 06/02/2011, Ahad….. Selamat tiba dari Beijing ke...
- 05/02/2011, Sabtu….. Hari Terakhir, Zai Jian Zho...
- 04/02/2011, Jumaat….. Hari Keenam Beijing–Tianji...
- 03/02/2011, Khamis….. Hari Kelima Beijing–Tianji...
- 02/02/ 2011, Rabu….. Hari Keempat Beijing–Tianji...
- 01/02/2011, Selasa….. Hari Ketiga Beijing–Tianji...
- 31/01/2011, Isnin….. Hari Kedua Beijing–Tianjin ...
- 30/01/2011, Ahad….. Hari Pertama, Ni Hao Zhong Guo!
- 29/01/2011, Sabtu….. Persiapan Ke China…..
-
▼
February
(18)
0 ulasan:
Post a Comment