04/02/2011, Jumaat….. Hari Keenam Beijing–Tianjin Tours.

Friday, February 11, 2011
iFaizi
blogger



04/02/2011, Jumaat….. Hari Keenam Beijing–Tianjin Tours.

Hari terakhir kami di Beijing. Diulangi, di BEIJING ya ! Bukan di China kerana petang nanti kami akan berangkat pula ke Tianjin untuk mengunjungi beberapa destinasi yang menarik di sana. Walaupun petang nanti, barulah kami berangkat ke Tianjin tetapi pada pagi itu kami telah siap berkemas bagasi – bagasi kami untuk dimasukkan ke dalam bonet bas persiaran kerana kami akan terus daftar keluar (check–out) dari Hotel Chang Feng & akan menginap di sebuah hotel di sekitaran bandaraya Tianjin pada malam nanti.

Destinasi pertama kami pada hari tersebut ialah Beijing Jade Center. Tempat ini tidak jauh dari kawasan Stadium Sarang Burung & Stadium Water Cube kerana kalian boleh melihat 2 stadium berkenaan dengan jelas dari tempat ini. Semasa kami hendak menuju ke pintu masuk Beijing Jade Center, terdapat seorang penjual layang – layang China menerbangkan layang – layangnya dengan mudah dengan hanya sekadar mencampakkannya ke udara tanpa perlu berlari untuk menerbangkan layang – layang seperti mana dilakukan oleh orang – orang kita di Malaysia. B-) . Seperti mana di beberapa tempat lain yang pernah kami kunjungi, tempat ini juga memberi penerangan ringkas sambil memberi promosi istimewa kepada kami untuk membeli jed yang terdapat di situ. Kami diberi setiap seorang dalam rombongan kami seutas rantai jed secara percuma. Sama ada kami beli atau tidak, setiap seorang akan tetap menerima seutas rantai jed.



Setelah selesai membeli – belah di Beijing Jade Center, kami pun berangkat menuju ke kilang Dellmann, sebuah syarikat alatan dapur yang lebih mengkhusus kepada barang tajam seperti pisau & pengisar. Dalam sesi penerangan ringkas tentang syarikat tersebut, setiap daripada kami dalam rombongan (walaupun tidak membeli) akan mendapat saguhati aka souvenir daripada syarikat tersebut yang merupakan sebilah pisau kecil yang sesuai untuk potong buah kecil seperti kentang, tomato & yang seangkatan dengannya.

Destinasi yang berikutnya adalah Hard Rock Café Beijing. Di sana, kami lebih banyak bergambar daripada membeli – belah kerana t – shirt, seluar & barangan lain yang dijual di sana sangat mahal & tambahan pula duit kami sudah semakin susut akibat terlalu banyak berbelanja. B-P.

Selesai sesi bergambar di Hard Rock Café Beijing, kami pun segera berangkat untuk menuju ke restoran muslim halal yang berikutnya untuk menjamah makan tengahari & kemudiannya menunaikan solat Zohor di Masjid Niujie. Selepas menunaikan solat Zohor di masjid tersebut, kami mengambil peluang yang ada untuk berjalan–jalan di sekitaran Niujie.

Untuk makluman kalian, Niujie merupakan kawasan majoriti Islam terbesar di Beijing. Di sini merupakan kawasan yang paling ramai dihuni oleh orang beretnik Hui. Jadi, jangan merasa hairan atau terkejut sekiranya terdapat daripada mereka ini di Niujie memberi salam kepada anda walaupun mereka tidak berkopiah & berjanggut lebat. Jawablah salam mereka dengan penuh keyakinan & keiklasan kerana mereka juga saudara sesama Islam. B-) .

Kami masuk ke dalam bangunan Niujie Muslim Supermarket yang terletak tidak jauh dari Masjid Niujie. Di sini, terdapat banyak barang yang dijual khas untuk orang muslim di Niujie & makanannya juga halal tanpa was – was. Setelah setengah jam berada di dalam bangunan pasaraya tersebut, aku pun mengambil keputusan untuk keluar dari situ & menuju ke bas persiaran kami. Yang lain belum keluar lagi kerana masih bersiar – siar & membeli makanan & barang yang dijual di pasaraya tersebut.

Sementara menunggu mereka keluar dari bangunan pasaraya tersebut, aku, Maggie Ma & ayah aku bersembang kosong di luar bas persiaran. Setelah sejam bersembang kosong, akhirnya mereka yang masih belum keluar daripada pasaraya tersebut akhirnya keluar & masuk ke dalam bas persiaran. Kami terus berangkat menuju ke Tianjin. Zai Jian (selamat tinggal) Beijing ku tinggalkan & Ni Hao (hello) Tianjin, aku datang! B-).

Seperti biasa perjalanan kami dari bandaraya Beijing ke bandaraya Tianjin mengambil masa 2 jam & dalam tempoh tersebut, aku & beberapa rakan serta saudara – mara aku melihat pemandangan bumi China yang indah ini. Ada beberapa orang dari kami mengambil peluang yang ada untuk melenakan diri. Penat sangat barangkali. B-).

Setibanya kami ke bandaraya Tianjin, suasana sudah bertukar menjadi malam. Kami singgah ke sebuah restoran muslim halal yang terletak di tengah bandaraya Tianjin untuk menjamah makan malam. Di restoran ini, pekerjanya sangat pandai membaca Al – Quran & bukan sahaja pandai, malah boleh menghafal surah yang panjang. Sangat kagum aku melihat pembacaan Al – Quran mereka walaupun mereka berada di sebuah negara komunis. B-).

Selesai makan malam, kami berangkat menuju ke hotel penginapan kami di sekitaran bandaraya Tianjin iaitu Hotel Jin Ma. Dalam perjalanan kami dalam bas menuju ke hotel, pertunjukkan bunga api di ruang angkasa Tianjin juga tidak kurang hebatnya berbanding Beijing. Penuh berwarna – warni & corak paten bunga api di ruang angkasa Tianjin yang dipersembahkan untuk tatapan kami. Seperkara yang aku ingin tambah di sini ialah pihak pemerintah China tidak melarang rakyatnya bermain bunga api & mercun tidak seperti mana yang berlaku di Malaysia. Aku pernah bertanya Maggie Ma beberapa hari yang lepas, apakah tidak ada yang putus jari akibat bermain mercun di sini & beliau menjawab “RAMAI ! setiap tahun, ramai yang putus jari akibat bermain mercun pada sambutan Tahun Baru Cina di China.” Kemudian aku bertanya lagi, apakah pemerintah di sini tidak haramkan mercun? Beliau menyatakan bahawa dahulu pernah ada menteri China yang menyentuh bab ini ( putus jari akibat bermain mercun ) tetapi apabila ditanya oleh pihak wartawan, apakah pihak pemerintah tidak bercadang untuk haramkan mercun ? Menteri itu tersenyum seketika & menjawab “Kalau setiap hari ada sahaja kemalangan di atas jalanraya, adakah kita perlu haramkan kereta, lori & motorsikal ?” itulah jawapan dalam bentuk pertanyaan. B-).

Menurut Maggie Ma lagi, pengharaman yang dibuat oleh pemerintah China terhadap sesuatu material & isunya adalah sekiranya perkara yang diharamkan itu boleh mendatangkan kemudaratan serta huru – hara terhadap kepentingan negara & dasar pemerintahan mereka seperti contoh Facebook & Google yang digunakan oleh segelintir aktivis demokrasi untuk meyebarkan ideologi mereka. Walaupun mereka ini hanyalah segelintir minoriti tetapi pemerintah China tidak berkompromi dalam isu ini bagi mencegah daripada situasi menjadi huru – hara & tidak terkawal.

Setibanya kami di hotel, kami daftar masuk untuk sehari semalam sahaja kerana esok kami akan berangkat pulang ke Malaysia. Selesai mendapat kunci bilik, kami masuk ke bilik masing – masing & bersiap untuk melenakan diri. Wan an! (selamat malam!). B-).

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...