Tegur & Dendam?.

Wednesday, December 26, 2018
Di sebuah tapak perkuburan... sedang berlangsungnya urusan pengebumian satu jenazah... suasana sedih menyelubungi ahli keluarga, sahabat handai dan sesiapa yang mengenali jenazah di tapak perkuburan itu.

Beberapa qariah masjid dan surau berdekatan serta beberapa orang awam yang merangkumi jua beberapa ahli keluarga, sahabat handai dan sesiapa yang mengenali jenazah mengambil tanggungjawab untuk mengcangkul tanah untuk menyempurnakan pengebumian jenazah sambil memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Jenazah yang sedang dikebumikan ialah Haji Mustafa atau lebih dikenali sebagai Haji Topa di kalangan masyarakat setempat.

Antara mereka yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan pengebumian jenazah dengan mengcangkul tanah ialah Haji Deris, Jiman & Helmi.

Setelah selesai urusan pengebumian jenazah arwah Haji Topa & selesainya jua bacaan talkin disempurnakan oleh imam masjid berhampiran... Helmi cuba mendapatkan Jiman untuk Helmi bertanyakan soalan kepada Jiman...

“Jiman!” Helmi memanggil Jiman yang sudah beberapa langkah di hadapan Helmi. Jiman sedang menuju ke arah motorsikalnya untuk pulang ke rumah tapi langkahnya terhenti sekejap apabila Helmi memanggil nama Jiman.

“Ada apa?” Jiman bertanya kepada Helmi.

“Kenapa?” Helmi bertanya kepada Jiman.

“Kenapa apanya?” Jiman pula bertanya kepada Helmi.

“Kenapa kau uruskan pengebumian jenazah Haji Topa?” Helmi bertanya kepada Jiman.

“Apa punya soalan kau tanya ni? Ini kan dah jadi tanggungjawab kemanusiaan sesama kita yang terdekat & semampu yang boleh bagi menyempurnakan pengakhiran kehidupan yang menghembuskan hayat nafas terakhir.” Jiman menjelaskan kepada Helmi.

“Tapi kau dah lupakah apa yang berlaku antara kau dan Haji Topa?” Helmi bertanya lagi kepada Jiman.

“Apa yang berlaku antara aku dan Haji Topa?” Jiman bertanya kepada Helmi.

“Cuba kau ingat semula apa yang berlaku antara kau dan Haji Topa di masjid beberapa hari lepas sebelum Haji Topa jatuh sakit dan meninggal dunia... cuba ingat semula...” Helmi cuba membawa Jiman untuk mengimbau semula peristiwa yang berlaku di masjid beberapa hari lepas...

Jiman sedang mengimbau...

“Kalau rasa jenazah tu boleh berguling sendiri ke liang lahad... suka hati kau lah!” Kata Haji Topa kepada Jiman tetapi teguran itu seolah tidak mahu didengar oleh Jiman.

Haji Topa begitu marah kepada Jiman kerana Jiman seolah tidak berminat mendengar nasihat Haji Topa.

Apa yang membuatkan Haji Topa berkata begitu kepada Jiman?

Mari kita pergi ke situasi yang lebih awal sebelum Haji Topa melafazkan ayat itu kepada Jiman...

Di masjid... sesudah selesainya solat Isyak berjemaah... Jiman duduk di bangku perkarangan masjid untuk merehatkan diri sebelum meneruskan langkah perjalanan pulang ke rumah dari masjid. Turut bersama Jiman ialah Helmi, kawan baiknya.

Haji Topa yang juga selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah di masjid itu ternampak Jiman dan Helmi duduk di bangku perkarangan masjid. Haji Topa menghampiri mereka berdua di bangku perkarangan masjid itu.

“Assalammualaikum, Jiman... Helmi...” Haji Topa memberi salam kepada mereka berdua.

“Waalaikumsalam, ji...” Jiman & Helmi menjawab salam yang diberikan oleh Haji Topa.

“Belum balik lagi ke?” Haji Topa bertanya kepada mereka berdua.

“Saya kejap lagi nak baliklah ni... saya berehat sekejap di bangku perkarangan masjid ni, ji!” Jiman menjawab pertanyaan Haji Topa.

“Sebelum kamu balik ni... boleh tak aku nak tanya kamu ni, Jiman?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

“Nak tanya apa, ji?” Jiman bertanya kepada Haji Topa.

“Kamu ada beri makan setiap hari kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan ke?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

Tanpa teragak... Jiman mengaku ada memberi makan hampir setiap petang kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.

“Kamu tahu tak... anjing tu hukumnya haram!” Haji Topa berkata kepada Jiman.

“Tapi saya cuma beri makan sahaja kepada anjing-anjing terbiar... bukannya saya buat yang lebih-lebih kepada anjing-anjing terbiar di pekan.” Jiman menjelaskan kepada Haji Topa.

“Kalau niat kamu nak beri makan... kamu boleh sahaja memberi makan kepada kucing atau orang fakir miskin atau orang kelainan upaya...” Haji Topa pula menjelaskan kepada Jiman.

“OK, saya rasa ada salah faham di sini... saya rasa Haji Topa hanya nampak saya beri makan kepada anjing-anjing terbiar di pekan sedangkan ada waktu lain juga selalu saya ada memberi makan kepada kucing terbiar, orang fakir miskin dan orang kelainan upaya... bahkan saya juga selalu ada memberi bantuan dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa saya bersama sahabat-sahabat sukarelawan saya yang lain kepada orang fakir miskin dan orang kelainan upaya. Kami juga ada memberi bantuan barang dapur dan pakaian kepada golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya.” Jiman menjelaskan panjang lebar kepada Haji Topa.

“Mungkin pada waktu kami sedang memberi bantuan kepada golongan manusia yang memerlukan... Haji Topa tak nampak tapi secara kebetulan Haji Topa hanya selalu nampak kami memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.” Jiman menambah penjelasannya kepada Haji Topa.

“Tapi anjing tetap hukumnya haram.” Nampaknya tumpuan Haji Topa lebih terarah kepada perkataan anjing berbanding penjelasan Jiman berkaitan bantuan yang diberikan olehnya serta rakan-rakan sukarelawan lain terhadap spesis haiwan dan golongan manusia lain yang memerlukan bantuan.

Jiman mula menarik panjang sikit nafasnya kerana merasa penat memberi penjelasan panjang lebar kepada Haji Topa.

“Beginilah, ji... saya dan rakan-rakan sukarelawan lain yang beragama Islam... kami bukannya tak tahu langsung hukum-hakam agama... bahkan andai kami tersentuh anjing sekali pun... kami akan segera samak setelah selesai memberi makan kepada anjing-anjing sekitar pekan.” Sekali lagi, Jiman memberi penjelasan kepada Haji Topa.

“Jadi, kamu masih berdegil untuk meneruskan memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

“Terlebih dahulu, saya mohon maaf kepada Haji Topa. Jawapan saya... YA, saya dan rakan-rakan sukarelawan yang lain akan meneruskan aktiviti kami dan salah satu aktivitinya ialah memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.” Jiman menjawab pertanyaan Haji Topa.

“Susah kalau bercakap dengan orang liberal ni... macam bercakap dengan syaitan... kamu ni tak patut datang masjid mencemarkan kesucian masjid ni...” Haji Topa menyelar Jiman.

Mendengar ayat itu keluar daripada bicara mulut Haji Topa membuatkan Helmi rasa macam nak bangun dari bangku perkarangan masjid itu dan macam rasa nak melempang Haji Topa.

Mujur sahaja Jiman menahan tindakan Helmi daripada melakukan perkara sebegitu. Jiman dapat merasa terlebih dahulu yang Helmi berkemungkinan bertindak seperti itu. Belum sempat Helmi nak bangun... Jiman dah pegang tangan Helmi tanda menahan kemungkinan tindakan Helmi terhadap Haji Topa.

“Kalau rasa jenazah tu boleh berguling sendiri ke liang lahad... suka hati kau lah!” Kata Haji Topa kepada Jiman tetapi teguran itu seolah tidak mahu didengar oleh Jiman.

Jiman hanya mampu sekadar tersenyum dengan kata-kata Haji Topa.

Imbauan Jiman berakhir...

“Jadi?” Jiman bertanya kepada Helmi...

“Mohon maaflah kalau apa yang aku cakap ni melukakan hati kau. Cuba bayangkan kalau kau yang meninggal terlebih dahulu berbanding Haji Topa... boleh jadi... Haji Topa tak nak sama-sama membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah kau walaupun dia mempunyai kelapangan masa yang sangat banyak dan sememangnya tak ada sebarang masalah untuk dirinya membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah kau andai itu yang terjadi. Silap haribulan, dia hasut orang lain untuk memulaukan urusan pengebumian jenazah kau hanya kerana kata-katanya tidak diikuti oleh kau.” Helmi bicara panjang lebar.

“Tak baik kau bersangka buruk kepada orang apatah lagi jika orang itu sudah meninggal dunia.” Jiman memberi nasihat lembut kepada kawan baiknya itu.

“Tak adalah... aku kasihankan kau. Kau tu kawan baik aku... aku pelik... bagaimana kau boleh bersabar dengan orang-orang macam Haji Topa? Ramai orang ugut tak nak bantu uruskan pengebumian jenazah kau semata-mata kau tak ikut cakap mereka tapi bila ada arwah-arwah yang kau kenal masa hidupnya tak ikut nasihat kau... tak ada pula kau kata macamlah jenazah mereka boleh berguling sendiri ke liang lahad. Malah kau tetap membantu jika mempunyai kelapangan masa dan jika tidak mempunyai sebarang halangan... tetap membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah mereka itu yang pernah masa hidup mereka... mereka tak ikut pun apa yang kau katakan.” Sekali lagi panjang lebar bicara Helmi.

Jiman tersenyum mendengar kata-kata Helmi.

“Helmi... sepanjang hidup aku setakat ini... dah terlalu ramai jenazah yang aku bantu uruskan pengebumian jenazah mereka. Ada antara mereka yang sudah meninggal dunia ini... hanya aku dan mereka sahaja yang tahu rahsia mereka. Hanya kami berdua sahaja tahu rahsia mereka masing-masing.” Jiman menjelaskan kepada Helmi.

“Ada yang masa hidupnya mengamalkan rasuah, main judi, minum arak, makan harta anak yatim dan sebagainya tapi pada masa yang sama bertopengkan agama... ada antara mereka pergi menunaikan umrah dan haji dengan duit yang masyarakat kita panggil duit haram... bahkan mereja lakukan ibadah umrah atau haji itu banyak kali dengan duit haram... tak kiralah duit rasuah, duit hasil judi, duit anak yatim dan sebagainya.” Jiman meneruskan penjelasan kepasa Helmi.

“Ada juga antara jenazah-jenazah yang aku bantu uruskan urusan pengebumian jenazah mereka itu masa hidupnya adalah pondan, atheist, deist dan sebagainya. Walaupun masa hidup mereka seperti itu... tiada pula masalah yang aku dan orang lain hadapi dalam membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah mereka ini.” Jiman meneruskan penjelasan kepada Helmi.

“Terlalu banyak rahsia mereka yang aku pegang dan aku masih menyimpan kemas rahsia mereka. Pada aku... yang sudah tiada, biarkan berlalu pergi dan yang masih hidup ini... teruskanlah kehidupan sehingga ke nafas hayat yang terakhir.” Giliran Jiman pula bicara panjang lebar.

“Hmmm...” Helmi hanya mampu berkata itu setelah mendengar penjelasan yang sangat panjang lebar daripada kawan baiknya, Jiman.

“OKlah, aku balik dulu... Assalammualaikum!” Helmi segera menamatkan perbualan setelah mereka berbual panjang.

“Waalaikumsalam.” Ringkas sahaja Jiman menjawab salam daripada Helmi dan mereka bedua beredar dari situ.

Sewaktu Jiman dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motorsikalnya baru beberapa meter dari tapak perkuburan... Jiman terserempak Haji Deris iaitu salah seorang yang sering berjemaah di masjid yang sama sedang berbual dengan beberapa orang yang kelihatannya baru tiba untuk menziarahi kubur Haji Topa. Mereka ini yang sedang berbual dengan Haji Deris mungkin datang dari jauh yang mungkin juga sahabat lama zaman sekolah dahulu.

Ketika Jiman menghampiri mereka... Jiman terdengar bual bicara Haji Deris yang seolah-olahnya memburuk-burukkan Haji Topa di hadapan mereka yang mungkin baru tiba dari jauh.

Jiman menghampiri mereka dan mematikan enjin motorsikalnya...

“Assalammualaikum...” Jiman memberi salam kepada mereka itu termasuk Haji Deris.

“Waalaikumsalam...” mereka menjawab termasuk Haji Deris.

Jiman menghulurkan tangan tanda bersalaman kepada mereka termasuk Haji Deris. Mereka termasuk Haji Deris turut sama bersalaman tangan dengan Jiman.

“Encik-encik ni semua dari mana? Nak mengziarahi kubur Haji Topa ke?” Jiman bertanya.

“Kami ni semua dari Kuala Lumpur... kami baru sahaja tiba... memang kami nak mengziarahi kubur Haji Topa. Haji Topa ni dulu rakan satu sekolah dengan kami.” Salah seorang daripada mereka menjelaskan kepada Jiman.

“OKlah, kami nak menuju ke kubur arwah sementara anak-anak arwah masih ada di pusara arwah. Kalau anak-anak arwah dah pulang... tak tahu pula kami di mana kubur arwah... assalammualaikum...” salah seorang menamatkan perbualan di situ dan mereka segera menuju ke tapak perkuburan.

“Waalaikumsalam...” ringkas jawapan salam daripada Jiman yang disudahi dengan bersalam tangan dengan mereka itu dan mereka yang baru tiba dari Kuala Lumpur itu segera menuju ke tapak perkuburan.

Sesudah mereka yang baru tiba dari Kuala Lumpur itu meninggalkan Jiman & Haji Deris beberapa meter... Jiman bertanya kepada Haji Deris.

“Apa yang Haji Deris katakan kepada mereka tentang Haji Topa? Rancak semacam...” Jiman bertanya kepada Haji Deris.

Haji Deris memburuk-burukkan Haji Topa dengan mengatakan wajah Haji Topa bertukar hitam sedangkan berlaku salah faham bahawa sejak kebelakangan ini cuaca sememangnya sangat terik... tona kulit Haji Topa sememangnya sudah coklat gelap ditambah pula cuaca yang terik memancar sebelum beliau jatuh sakit yang menyebabkan tona kulitnya semakin gelap.

Walaupun tona kulitnya semakin gelap tapi tidaklah hitam sangat seperti yang digembar-gemburkan oleh Haji Deris. Jiman merasa hairan kenapa Haji Deris begitu beriya sungguh menggambarkan situasi kematian Haji Topa seolah mendapat pembalasan tuhan sedangkan perkara sebenar bukanlah seperti itu.

Pada pandangan Jiman... jika berlakunya salah faham... tidak mengapa tapi jika Haji Deris sememangnya berbohong dengan niat untuk menjatuhkan maruah arwah dan keluarga arwah... menurut pandangan Jiman... tindakan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

Apalah perasaan kawan-kawan arwah tadi apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Haji Deris tadi?

Adakah mereka percaya atau sebaliknya?

Sama ada mereka percaya atau tidak dengan apa yang disampaikan oleh Haji Deris... apakah reaksi mereka terhadap Haji Deris?

Jiman adalah antara orang yang membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah arwah Haji Topa dari mula hingga akhir... memandikan... mengkafankan... melakukan solat jenazah... mengangkat keranda jenazah... memasukkan jenazah ke liang lahad... mengcangkul tanah... menanam nisan & turut sama dalam bacaan talkin di kawasan kubur. Boleh dikatakan semuanya berjalan lancar dan tiada perkara pelik, luar biasa atau perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang urusan pengebumian.

Jiman merasa hairan... bagaimana Haji Deris dengan berpenampilan jubah dan berserban boleh bertindak dan berkata sedemikian? Adakah Haji Deris menyimpan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap arwah Haji Topa?

Ramai orang kata Jiman liberal tapi Jiman tidaklah suka menyimpan dendam pada sesiapa jua... Jiman merasa hairan terhadap mereka yang dakwa diri mereka baik & beragama tapi... hmmm... itulah sahajalah yang Jiman mampu ungkapkan di dalam sanubarinya.

Ketika Haji Deris sedang hendak beredar dari situ... Haji Deris menghidupkan pemetik api bagi menyalakan rokok. Rokok dinyalakan dan Haji Deris menghembus asap rokok dan berlalu pergi.

Jiman hanya sekadar menggelengkan kepala.

Peliknya Bani Pribumi Melayu ini kan?
Peliknya mereka ini bila bercakap tentang agama... mereka menjadi lebih alim berbanding bani lain.
Yang perempuan Melayu free hair atau sekadar membalut aurat tapi sering ucap kalimah Allah di bibir dan sering berada di minda sanubari mereka manakala lelaki Melayu pula sambil hembus asap... sambil itu jugalah mereka memberi tazkirah dan dakwah.

Anehnya mereka ini bila menegur orang lain... mereka rasa mereka mengajak orang lain ke arah kebaikan tapi bila salah mereka sendiri ditegur... mereka mendakwa orang lain sengaja mencari kesalahan mereka.

Apabila merasakan kata-kata mereka tidak dipedulikan... mereka keluarkan satu ayat berbaur ugutan seperti contoh “Jenazah kau bukannya boleh berguling sendiri ke liang lahad...”

Jadi adakah si pengeluar ayat tersebut apabila meninggal kelak suatu hari nanti... adakah jenazahnya berguling sendiri ke liang lahad? Boleh jadi si pendengar ayat tersebut itu menjadi salah seorang yang membantu menguruskan pengebumian jenazah si pengeluar ayat tersebut. Tapi adakah jenazah si pendengar ayat tersebut akan dikebumikan atau dibiarkan mereput sendiri atau dicampak ke sungai atau laut?

Agama? Kemanusiaan? Keduanya sekali?

Entahlah...

  • TAMAT -


#ifaizi #ifaizizone

Takluk.

Monday, November 26, 2018
Takluk.

Pada tahun 2017... aku banyak mengisi masa aku menjaga arwah ayah aku di hospital. Ayah aku adalah penghidap kanser prostat. Tidur di hospital itu merupakan perkara biasa. Berbulan juga lamanya aku menjadikan hospital sebagai tempat kediamanku.

Sepanjang masa ketika ayah aku sakit... ramai juga yang memberi kata-kata semangat kepada aku agar tabah. Tak kurang juga yang memberi usikan sama ada mereka benar-benar sungguh maksudkannya atau sekadar gurauan.

Usikan yang aku maksudkan ialah seperti contoh bila mereka berkata seperti ini...

“Ko tidur kat hospital hati-hati, jangan sampai diganggu oleh makhluk halus...”

“Ko kan tahu... hospital adalah tempat ramai orang mati... jaga-jaga sikit... takut ada hantu kacau ko!”

“Ko tak takut ke tidur kat hospital? Takde hantu ke... pocong ke ganggu ko?”

Dan bermacam lagi... 😎

Mungkin ada antara mereka niat bergurau tapi ada masanya aku bergurau juga membalas usikan mereka seperti contoh...

“Entahlah... dah berbulan juga aku tidur kat hospital... takde pula hantu jin jembalang tanah pocong pontianak kacau aku tidur... mungkin diowang takut kat aku agaknya!”

Bila aku bergurau membalas usikan mereka seperti itu... ada antara mereka membalas seperti ini...

“Ko jangan cakap besar! Tak bagus!”

Dan aku membalas “Aku gurau jer!”

“Benda macam ini jangan dibuat gurau!” Si polan...

Hmmm... jika rasa diri tu tak boleh dibuat gurau atau diusik... jangan buat perkara yang sama terhadap orang lain.

Memang fitrah manusia suka menjajah & menakluk orang lain dengan kata-kata mereka agar hanya kata-kata mereka sahaja diterima dan pada waktu yang sama menolak sekerasnya kata-kata orang lain.

Mereka hanya nak orang lain melihat, mendengar, merasa dan menerima kata-kata mereka sahaja tapi mereka tidak sedikit pun memberi ruang walau seinci untuk melihat, mendengar, & merasa sesuatu yang baru serta luas pemandangan kotak minda sanubari.

Berilah peluang kepada diri untuk menjadi pendengar yang baik berbanding berterusan bercakap tanpa henti kerana kita hanya mengulang apa yang kita sudah tahu apabila kita bercakap. Dengan sedia mendengar, melihat & merasa apa yang orang lain ingin sampaikan... kita berpeluang untuk mempelajari perkara baru dalam kehidupan kita.

Jangan biarkan minda sanubari kita ditakluk jajah dengan perkara yang sudah sedia tahu dan mengulanginya berulang kali tapi tak bersedia untuk menghadapi sesuatu perkara baru dan luas yang mungkin akan mengubah diri kita dalam menilai kehidupan ini.

  •   SEKIAN   -


#ifaizi #ifaizizone

Bani Pribumi Melayu & Mimpi...

Bani Pribumi Melayu & Mimpi...

Mat & Din lepak santai di restoran Mamak... sambil menikmati teh tarik...

Mat :
Ko ada terbaca mesej grup office kita kat whatsapps?

Din :
Tentang apa ya?

Mat :
Tentang seorang pemuda ada termimpi negara Antartika dilanda ais & salji. Pemuda ni termimpi benda ni setiap hari selama seminggu.

Din :
Ko percaya pada mimpi seorang yang ko tak kenal pun siapa dia... bagaimana wajah dan tuan empunya mimpi pun tak tunjukkan dirinya yang sebenar?

Mat :
Benda mimpi ni... kalau tuhan nak tunjuk sebagai pembayang... siapalah kita untuk menghalangnya?

Din :
Hmmm... menarik tu... aku pun pernah termimpi sesuatu suatu ketika dulu setiap malam selama sebulan... macam menarik tapi aku malas nak cerita kat orang sebab aku tak fikir manusia percaya pada mimpi tapi nampak gayanya aku silap...

Mat :
Ko mimpi apa, bro?

Din :
Aku pernah termimpi... bila kita mati... golongan manusia atas muka bumi tuhan ni berpeluang untuk masuk syurga tanpa mengira darjat, status ekonomi, bangsa, agama, mazhab, kepercayaan & ideologi mereka... asalkan di sisi tuhan... tuhan nampak kebaikan mereka.

Mat :
Ko bohong! Mana ada minpi yang macam itu?!

Din :
Jika aku bersumpah atas nama tuhan yang sememangnya aku pernah termimpi sesuatu yang macam itu... ko akan percaya?

Mat :
Mainan syaitan tu agaknya!

Din :
Bila ko percaya... ko kata alamat dari tuhan tapi bila ko tak percaya... ko kata mainan syaitan sahaja. Begitu ke cara mimpi berfungsi?

Mat :
... ... ...

  •   TAMAT   -


#ifaizi #ifaizizone

Cerita Penuh

Cerita Penuh

Ali :
Aku harap Mat tu mati cepat...

TAMAT?!

Nampak kenyataan si Ali begitu jahat kan jika ayat itu yang keluar dari mulutnya? Sehinggakan kita yang membacanya pun mengharapkan yang mati itu ialah Ali. Tapi bagaimana jika ayat ini yang keluar?...

Ali :
Aku harap Mat tu mati cepat... jika itu baik untuknya. Jika dia berpeluang untuk sembuh... maka segerelah sembuhkan dirinya. Aku sangat kasihan dengan Mat yang menderita kesakitan akibat kanser.

TAMAT!

Bagaimana? Apa reaksi anda? Anda menyangka Ali jahat lalu berprasangka buruk dan mengata yang bukan-bukan. Anda rasa Ali jahat tapi bagaimana pula dengan anda? 😎


Santai Kedai Kopi : Hidup Sederhana Tanpa Pening Kepala.

Santai Kedai Kopi : Hidup Sederhana Tanpa Pening Kepala.

“Tak perlu rasa terhina jika anda dilihat miskin oleh kengkawan anda kerana tatkala anda kaya sikit jer (ada duit lebih sikit)... akan ada ramai kengkawan anda datang kepada anda untuk pinjam duit. Kekadang tu anda bukan bagi pinjam... anda anggap sedekah tapi tetiba hati jadi sakit bila kengkawan anda itu kata susah sampai merayu nak pinjam duit tapi kemudian boleh travel sana-sini... makan mewah kat restoran mahal... beli flagship smartphone, honda, bmw, merc, gucci, prada, chanel dan upload kat instastories bagai... hmmm... lebih baik hidup sederhana... takyah pening kepala!”

Din membebel & meroyan sorang2 di kedai mamak setelah merayu kawannya membayar hutang menerusi talian telefon tapi masih gagal mengutip hutang.


#ifaizi #ifaizizone #santaikedaikopi

Santai Pagi : Dengar & Tengok.

Santai Pagi : Dengar & Tengok.

Wahab & Dhani sedang menikmati sarapan pagi mereka di sebuah hotel tempat penginapan mereka sebelum menghadiri mesyuarat bersama pihak JKR.

Sedang mereka menikmati sarapan mereka... terdapat sebuah meja makan bersebelahan dengan meja makan mereka yang terdapat beberapa orang Kaukasia sedang bersarapan bersama sesama mereka orang Kaukasia.

Salah seorang Kaukasia tersebut begitu rancak berborak dan antara perkataan yang sering disebutnya ialah “Heaven” dan “Hell”. Begitu “beragama” sungguh bicara Kaukasia tersebut.

Dhani suka pasang telinga dan mendengar bicara agama, syurga, neraka & hari kiamat daripada orang Kaukasia tersebut.

Setelah semua orang Kaukasia di meja makan sebelah tersebut beredar... si Dhani cakap kepada si Wahab... “Kau tengok mat salleh - mat salleh tu semua... indahnya bicara mereka tentang Islam. Mereka betul-betul jaga agama Islam mereka...”

“Mereka bukan Islam... mereka Nasrani aka Kristian! Mereka bercakap tentang agama mereka!” Si Wahab membalas ringkas.

“Hah... inilah orang kita! Kalau ada bicara tentang agama sahaja... ada sahaja negatifnya. Kau tak tengok ke tadi... salah seorang Kaukasia tersebut bicara tentang heaven (jannah), hell (neraka) dan armageddon, doomsday, end of the world (kiamat)?” Dhani tak puas hati dengan kenyataan Wahab.

“Aku dengar dan tengok tapi kau cuma mendengar sahaja. Mereka semua ada rantai salib di leher mereka. Apa yang perlu kau tahu ialah... bukan hanya sekadar Islam sahaja yang mana agamanya bercerita tentang syurga, neraka dan hari kiamat... agama lain pun ada. Dah... cepat habiskan sarapan kau tu... kita ni sebenarnya dah lambat untuk ke mesyuarat JKR.” Wahab membalas.

Jawapan Wahab membuatkan Dhani terkesima.


#ifaizi #ifaizizone #santaipagi

Kalimah Allah Bagi Orang Arab & Bukan Arab.


Fuh... dah lama juga aku tak kemaskini blog aku... dah bertahun juga lamanya. Hmmm... kena sapu sawang nampak gayanya... OKlah... mari kita mulakan!

Pagi yang dingin ditambah pula hujan yang lebat menyamankan suasana pagi yang ceria. Aku makan biskut cicah air Milo panas. Terbaik!

Sambil merehatkan minda dan jiwa di pagi yang menyamankan itu... aku teringat satu cerita beberapa tahun yang lepas...

Ketika itu, aku ke Kuala Lumpur atas urusan kerja. Nak dipendekkan cerita...
Apabila tengahari menjelang dan kebetulan pula, kerja aku di Kuala Lumpur sudah selesai... aku ambil keputusan untuk makan tengahari terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Johor Bahru.

Selepas memesan makan tengahari di kaunter juruwang dan pesanan aku siap... aku pun cari meja untuk duduk makan.

Wow! Ramai gila orang makan tengahari di restoran tersebut. Aku perhatikan tiada meja kosong. Kalau tahu tadi... aku pesan bungkus dan makan dalam kereta sambil memandu pulang.

Nasib baik ada seorang lelaki Arab dengan penampilan santai dengan tshirt dan seluar jeansnya mengucap salam, melambai tangan serta memanggil aku duduk untuk makan bersamanya. “Assalammualaikum my friend! Come sit here and join me eat together!” Begitulah pelawaan lelaki Arab tersebut.

Hairan... orang Malaysia tak ada pun nak tawarkan aku duduk makan bersama mereka walaupun ada kerusi kosong di meja mereka. Memang begini ke sikap orang Malaysia atau hanya warga kota bersikap begini?

Malas nak fikir banyak... aku pun menerima pelawaan lelaki Arab tersebut.
“Thanks for letting me sit here... Syukran!” Aku ucapkan terima kasih kepada lelaki Arab tersebut.

“Oh... you know Arabic?” lelaki Arab tu tanya aku.

“Sorry, I don’t know Arabic! I only know certain words in Arabic” aku memperjelaskan kepada lelaki Arab tersebut.

“It OK... we can continue our conversation in English...” kata lelaki Arab itu.

“First of all... I would like to apologise to you if my English is not so good that sometime or often incorrect grammar & pronunciation. I’ve to admit that my English is not so good.” yalah... bahasa utama aku iaitu Bahasa Melayu pun tunggang langgang tatabahasa dan sebutannya apatah lagi bahasa kedua alternatif aku... Bahasa Inggeris... lagilah tunggang langgang. Jadi, kenalah beritahu lelaki Arab itu tentang kelemahan berbahasa Inggeris aku. Bahasa Arab? Jangan tanyalah ya! Huhuhu...

“It OK! I’m also not so good in English but hey... it doesn’t matter as long we can talk and understand each other! That fair enough... even many English native speaker can’t speak English perfectly... so why bother to speak perfect English with perfect grammar?” lelaki Arab itu cuba sedapkan hati aku.

“Thank you... anyway... where you came from?” Aku tanya lelaki Arab itu dari negara mana...

“Oh... I’m from Beirut!” lelaki Arab itu menjawab.

Hahaha... dahlah lemah English... geografi aku pun lemah...

“Beirut? Where is it? Saudi? Iraq? UAE? Kuwait?” aku bertanya.

“Lebanon! It a capital of Lebanon” lelaki Arab itu jawab ringkas.

“I’m truly sorry for not knowing more about your country!” aku memohon maaf.

“It OK... anyway... where are you came from?” giliran lelaki Arab itu pula bertanya kepada aku.

“I’m from Johor Bahru” aku jawab ringkas.

“Oh... the southern city of Malaysia and nearby of Singapore... I know that city!” kata lelaki Arab itu.

“Wow... you know Johor Bahru? Have you been there before?” aku tanya lagi.

“Never been there but I know lot of thing about Johor Bahru from reading many info and watch many video on YouTube about Johor Bahru.” lelaki Arab tersebut menjelaskan kepada aku.

Wow... rasa malu pula bila lelaki Arab tersebut tahu tentang hometown aku sedangkan aku pula tak tahu tentang hometown dia walhal ibu negara tu...

Dipendekkan lagi cerita... sambil kami makan... sambil itu jugalah kami berborak kosong.

Seperti kebanyakkan penganut agama Islam lain... kalimah Allah tidak lekang di bibirnya sepanjang kami berborak kosong. “Allahuakbar... Subhanallah... Masyaallah... Alhamdulillah...” adalah antara kalimah yang mengzahirkan ekspresi perasaan diri lelaki Arab tersebut.

Di sebalik pakaian santai lelaki Arab tersebut dengan tshirtnya dan seluar jeansnya... lelaki Arab ni kuat ingat kepada tuhan.

Sehingga kami habis menjamah makan tengahari dan waktu solat Zohor pun nak dekat... Aku mengajak lelaki Arab tersebut untuk turut sama solat berjemaah di surau atau masjid berhampiran.

“I’m sorry... I’m Christian” jelas lelaki Arab tersebut.

“What? I’m beg your pardon?” aku seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh lelaki Arab tersebut. Aku tidak percaya kerana sepanjang perbualan kami... dia banyak mengucapkan kalimah Allah lebih daripada aku bagi mengzahirkan ekspresi perasaan.

Lelaki Arab tersebut mengeluarkan rantai salib dari sembunyian tshirtnya untuk tunjukkan kepada aku bahawa dia sememangnya seorang Arab beragama Kristian.

“I’m sorry about it... I’ve no idea that you are Christian” kata aku.

“It OK... I understand!” jawab lelaki Arab tersebut.

“If you don’t mind... can I ask you something?” aku ingin mendapatkan penjelasan sesuatu daripadanya.

“Go ahead... what is it?” lelaki Arab itu membenarkan.

“During our conversation just now... you keep saying the word of Allah and praise to Allah... why you do that?” aku bertanya.

“Why not? Allah is god for all humans and living species in this world.” lelaki Arab itu jawab ringkas.

“Are you interested to convert to Islam?” aku bertanya lagi.

“No, I’m happy for what I am!” jawab lelaki Arab itu.

“Then why are you keep using the word of Allah when you have no interest to convert to Islam?” aku bertanya lagi.

“I’m sorry... what that suppose to mean?” lelaki Arab itu bertanya kepada aku dengan wajah kehairanan.

“You’re Christian and you have no interest to convert to Islam. In that case... you’re forbidden to use the word of Allah to describe your god in Christianiaty.” aku memberi penjelasan kepada lelaki Arab tersebut.

“Like I said before... Allah is god for all humans and living species in this world.” lelaki Arab tersebut memperjelaskan kepada aku.

“Indeed but only Muslim have the right to use the word Allah to represent the Islam’s god!” aku memberi penjelasan kepada lelaki Arab itu.

Lelaki Arab tersebut hanya tersenyum untuk seketika.

“Why are you smiling? You don’t take my words seriously?” aku terasa seolah diperlecehkan.

“You Malay people still in confuse and have no idea on what you’re guys thinking, talking & doing it... and yet keep blaming others for your guys confusing!” selamba sahaja kenyataan lelaki Arab tersebut.

“And what that suppose to mean?” aku tak berpuas hati untuk mendapatkan penjelasan daripada lelaki Arab Kristian itu.

“OK... let me explain to you shortly as I can and easy to understand. In Arab community... the word god in Arabic is ‘Allah’. The concept is like Malay community saying the word god in their language as ‘tuhan’. This is how we pronounce the word god in our Arab community. In Arab community... even if we are Christian... we still using the word ‘Allah’ as god because that is the meaning of god in Arabic.” agak panjang lebar juga penjelasan lelaki Arab Kristian itu walaupun dia kata dia nak beri penjelasan pendek sahaja.

“Are you try to bluff and make me confuse?” nada aku mula tinggi sedikit tanda tak puas hati.

“I’m sorry if I hurt your feeling. But I was trying to explain to you. It OK if you don’t accept my explanation and trust me... I’ve no intention to make you confuse. FYI... I’m not the first one who starting it... You did! I’m just saying that I’m Christian when you invite me to do solah... that it!” jawab lelaki Arab Kristian.

Pada ketika itu... aku sebagai tipikal lelaki Bani Melayu... apabila bercakap tentang agama... seboleh-bolehnya tak nak kalah. Agak lama juga kami bercakap tentang agama sehingga aku menyedari bahawa aku belum menunaikan solat Zohor.

Jadi untuk menamatkan perbualan ini... aku beritahu lelaki Arab Kristian itu yang aku perlu segera pulang ke Johor Bahru kerana ada urusan kerja yang belum selesai.

“Look... I’m sorry our conversation didn’t end well... I’m hope we will meet again in the future!” kata lelaki Arab Kristian itu.

“I’m sorry too... look... I’ve to leave now... Once again... thanks for letting me sit here for me to have my lunch!” kata aku.

“OK, bye! See you again! Assalammualaikum!” lelaki Arab Kristian itu mengucapkan selamat tinggal dan mengucap salam kepada aku.

“Waalaikumsalam. OK, bye! Till we meet again” aku menamatkan bicara dan segera beredar dari restoran tersebut.

Aku rasa hati aku masih terasa panas walaupun aku cuba untuk sejukkan dan tenangkan diri aku kerana semasa aku memandu di lebuhraya untuk pulang ke Johor Bahru dan sehampirnya aku di kawasan R&R Seremban arah selatan... aku baru teringat yang aku belum menunaikan solat Zohor.

Aku terus singgah ke R&R Seremban arah selatan untuk menunaikan solat Zohor. Sesudah selesai menunaikan solat Zohor di R&R tersebut... aku mula terfikir sejenak... aku sepatutnya berlapang dada dalam apa jua yang aku hadapi, dengari dan rasai.

Apabila kita bercakap dan mendengar... bersedialah untuk memahami dan bukan sekadar membalas. Aku pelajari sesuatu yang aku rasa bermakna.

Jika kita tak suka dipaksa menerima sesuatu pandangan orang lain... janganlah memaksa orang lain menerima pandangan kita pula. Setiap orang ada dunia perspektif mereka sendiri. 

Perbezaan itu sebenarnya saling melengkapkan. Dah kalau semua orang di atas muka bumi ni nak cuti sambut Aidilfitri... siapa pula nak buka kedai runcit? ~ sekadar metafora sahaja... janganlah jadi pembaris sangat. Yang faham tu... fahamlah... yang tak faham... Hmmm... malas pula nak terangkan... Ada aku kisah?

OKlah... Adios!

p/s : sewaktu aku makan tengahari dengan lelaki Arab Kristian tersebut... Malaysia sedang hangat dengan isu kalimah Allah oleh penganut Kristian.


#ifaizi #ifaizizone
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...