Tentang Papadom

Tuesday, October 13, 2009
iFaizi
blogger



Hari minggu lepas, aku membawa 3 orang adik-adik aku menonton wayang di BigCinemas BP Mall. Kami menonton filem terbaru sutradara komedi nombor satu di Malaysia pada ketika ini, Afdlin Shauki yang berjudul “Papadom”.

Papadom mengisahkan Saadom, seorang pengusaha nasi kandar di Pulau Pinang yang berusaha keras memajukan perniagaannya sehingga berjaya. Namun, dalam kesibukkannya mengejar kejayaan, beliau sering mengabaikan masa untuk bersama keluarganya terutama sekali anak perempuan tunggalnya, Miasara atau nama singkatannya Mia.



Pada suatu hari, isteri dan anaknya terbabit dalam kemalangan. Anaknya selamat tetapi isterinya meninggal dunia. Sejak kejadian itu, Saadom mula mengambil berat dan meluangkan lebih banyak masa bersama Miasara. Aku betul-betul maksudkan terlalu ‘banyak’ masa bersama Miasara. Manakan tidak. Boleh dikatakan kalau boleh, Saadom mahu bersama dengan anaknya, Mia 24/7 . Ini membuatkan Mia merasa rimas dengan tindakan bapanya itu apabila Mia meningkat usia menjadi seorang remaja.

Selepas keputusan peperiksaan SPM keluar, Mia bercadang untuk melanjutkan pelajarannya ke UiTM Shah Alam tetapi dipertikaikan oleh bapanya kerana Saadom berpendapat Pulau Pinang juga mempunyai banyak institusi pengajian tinggi yang boleh dipilih untuk melanjutkan pelajaran. Namun, setelah didesak oleh Mia, Saadom akhirnya akur dengan pilihan tempat belajar anaknya itu. Akan tetapi, adakah Saadom akan melepaskan Mia untuk belajar di sana tanpa pengawasannya? Adakah Mia bebas dari kongkongan bapanya? Tontonilah filem ini untuk mengetahui kisah selanjutnya.

Apa yang boleh aku katakan tentang filem ini ialah filem arahan sutradara komedi nombor satu di Malaysia pada ketika ini, Afdlin Shauki sememangnya tidak mengecewakan peminat-peminatnya di Malaysia ini. Memang bertepatan filem ini mendapat anugerah filem terbaik di Festival Filem Malaysia yang berlangsung beberapa bulan lalu. Komedi genius yang tidak memperbodohkan penonton ini yang diiringi dengan mesej nasihat dan pengajaran berguna kepada kita semua tidaklah harus dipandang dengan sebelah mata. Pengajaran utama di dalam filem ini yang saya dapat tangkap ialah jangan mengabaikan keluarga anda walaupun sesibuk mana anda sedang bekerja untuk masa depan keluarga anda dan jangan pula sayangkan ahli keluarga kita sehingga kita mengongkong mereka.

Apapun, aku ucapkan tahniah kepada Afdlin Shauki kerana berjaya menghasilkan filem yang berkualti untuk rakyat Malaysia. Saya berikan 4.5 bintang untuk filem ini. Bro Afdlin Shauki, teruskan usaha anda mendidik rakyat Malaysia sambil berhibur melalui filem dan media. Semoga sukses selalu! Chaiyokkkk!!!! B-)
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...