Cerpen Jalan Pintas

Tuesday, October 13, 2009
iFaizi
blogger

“Alamak, masa inilah jalan sesak. Kalau tidak sekatan jalanraya, pastinya ada kemalangan di hadapan” begitulah keluhan si Mail setiap kali berdepan dengan kesesakan jalanraya. Beliau dalam perjalanan dari Kuantan hendak menuju ke Kuala Lumpur selepas menghadiri taklimat & lawatan tapak untuk memasuki tender. Oleh kerana beliau menggunakan kenderaan pacuan 4 roda, beliau mengambil keputusan untuk menggunakan jalan pembalakan untuk mengsingkatkan lagi perjalanannya memandangkan beliau melihat keadaan kesesakan jalanraya yang teruk yang mungkin mengambil masa berjam–jam lamanya untuk reda.

Memandu kenderaan pacuan 4 roda di dalam hutan bukanlah suatu perkara yang asing baginya memandangkan beliau sudah beberapa kali menyertai ekspedisi kenderaan pacuan 4 roda bersama rakan–rakannya yang berkongsi minat yang sama iaitu merentas belantara dengan kenderaan pacuan 4 roda. Namun begitu, jalan pembalakan di dalam hutan yang ini belum pernah lagi diterokai oleh si Mail.



Sejam yang pertama, si Mail masih lagi tenang. Sejam yang kedua, si Mail mula melihat telefon bimbitnya yang mempunyai GPS tetapi malangnya tiada talian. Sejam yang ketiga, si Mail mula menghisap rokok & mukanya sedikit stress. Sejam yang keempat si Mail mula ceria kembali tanda lega tetapi bukanlah kerana beliau telah jumpa jalan keluar. Beliau terserempak dengan seorang lelaki orang asli.

Mail memberhentikan & mematikan seketika enjin kenderaannya untuk bertanyakan kepada lelaki orang asli tersebut. Mail terfikir sama ada hendak memberi salam atau sebaliknya kerana tidak tahu apa agama orang asli tersebut. “Apa khabar bang!” si mail mula menyapa. “Assalammualaikum !” lelaki orang asli memberi salam kepada Mail. “Oh, Islam rupanya !” si Mail sudah mengetahui apakah agama lelaki orang asli tersebut. “Kamu ingat aku agama apa ?” lelaki orang asli itu menjawab pernyataan si Mail. “Saya hampir hendak memberi salam tetapi keraguan itu muncul bila teringat warna kulit abang tadi !” Mail menjelaskan. “Eleh, macamlah warna kulit kamu itu cerah sangat !” sedas pernyataan lelaki orang asli tersebut telah cukup membuatkan Mail terkebil seketika.

“Begini bang, saya hendak bertanya kepada abang. Abang tahu tak, di mana saya boleh cari jalan keluar dari hutan ini? Maksud saya ialah jalan besar, jalan utama.” Mail mula bertanya. “Oh, dah dekat sangat tu!” pernyataan lelaki orang asli itu membuatkan Mail kelihatan teruja. “Kamu pandu terus sahaja sampai jumpa pokok durian di hadapan itu, selepas itu kamu belok kanan. Sesudah kamu belok kanan, kamu terus sampai jumpa pokok petai. Kamu jumpa pokok petai, kamu belok kiri dan terus sahaja. Nanti jumpalah!”.

“Jumpa jalankah ?” Mail sudah kelihatan gembira yang teramat sangat. “Eh, tidak. Nanti kamu jumpa satu lagi pokok durian, kamu belok kanan.” Pernyataan lelaki orang asli tersebut membuatkan Mail mula merasa berang seketika. “Apa ini bang ? Tadi abang kata dah dekat sangat tapi macam jauh lagi!” Suhu emosi Mail mula meningkat. “Kamu hendak abang tunjukkan jalan atau tidak ?” Walaupun dalam keadaan suhu emosi Mail semakin panas tetapi lain pula suhu emosi lelaki orang asli tersebut yang tetap sejuk dari tadi. “Yalah, yalah!” Mail akur dengan lelaki orang asli tersebut untuk meneruskan bicara.

“Baiklah ! Sesudah kamu belok kanan, kamu terus sampai jumpa pokok sagu. Jumpa sahaja pokok sagu, kamu belok kiri. Nah, kamu sudah jumpa jalan pintas.” Lelaki orang asli itu menamatkan bicara tunjuk arahnya. “Wah, terima kasih banyaklah bang. Baiklah bang, saya hendak beredar. Jalan pintas yang abang sebutkan tadi, menghala ke mana eh ?” Mail menghidupkan enjin kenderaan pacuan 4 rodanya dalam keadaan teruja sambil bertanya kepada lelaki orang asli tersebut. “Oh, jalan pintas tadi eh? Jalan pintas itu menghala ke syurga !” Terkebil sekali lagi Mail mendengar pernyataan daripada lelaki orang asli tersebut. “Abang ini biar betul ? Jangan melawak bang ! Saya serius !” Suhu emosi Mail kian bertambah.

Lelaki orang asli itu tidak bekata apa. Suasana sepi seketika. Mail sedang cuba menurunkan suhu emosinya yang sedang panas tetapi kelihatannya percubaan itu gagal kerana lelaki orang asli itu tidak berkata sepatah perkataan pun. “Kenapa dengan abang ? Sakitkah ?” terpinga Mail seketika dibuatnya. Belum sempat Mail menyambung bicaranya lagi, lelaki orang asli tersebut tiba – tiba melarikan diri meninggalkan seribu persoalan yang bermain di fikiran Mail.

“Bang ! Jalan tadi itu betulkah?” Mail keluar dari kenderaannya & bertanya dalam keadaan menjerit kepada lelaki orang asli tersebut yang sedang melarikan diri. Lama – kelamaan, kelibat lelaki orang asli tersebut hilang dari pandangan mata Mail tanpa dijawabnya pertanyaan Mail. “Alamak ! Kenapalah ada orang gila dalam hutan ini?” Stres Mail kian bertambah. “Tidak boleh teruk lagikah ?” sebaik sahaja Mail mengeluh sedemikian, hujan pun turun dengan lebatnya & lantas Mail berkata “Awal sangatlah aku cakap!”.

Oleh kerana hujan lebat, Mail masuk semula ke dalam kenderaan pacuan 4 roda miliknya. Mail cuba untuk bertenang sambil menarik & menghembuskan nafasnya beberapa kali untuk melepaskan tekanan yang dihadapinya. “Betulkah jalan yang ditunjukkan oleh lelaki tadi? Ah, ikut sahajalah. Eh, alamak! Jalan mana yang lelaki tadi tunjukkan, eh?” Mail terlupa arah tunjuk jalan yang diberikan oleh lelaki orang asli sebentar tadi walaupun entah betul atau tidak. “Ah, hentam sahajalah!” Mail cuba menghidupkan semula enjin kenderaannya tetapi gagal. “Alamak! Apahal pula ini? Hendak kata minyak habis, sukatan bar minyak di dashboard masih banyak lagi” Mail mengeluh lagi. Hendak diperiksanya enjin hadapan, hujan sangat lebat. Akhirnya Mail mengambil keputusan untuk berehat & melelapkan mata seketika sehinggalah hujan mula reda.

“Abang….. abang….. abang…..” Sayup suara kedengaran diiringi bunyi ketukan cermin pintu kereta membuatkan Mail terjaga dari lenanya. “Hah ! Hantu !” hari sudah bertukar menjadi malam & Mail terkejut dengan kehadiran seorang gadis yang beliau sendiri tidak tahu dari mana datangnya gadis itu. Mail masih lagi percaya gadis orang asli yang berdiri dihadapan cermin pintu kenderaannya ialah hantu hutan kerana Mail masih lagi menjerit mengalahkan kaum hawa sambil membaca beberapa ayat suci Al – Quran.

“Woi….. woi….. woi…..!” gadis orang asli tersebut menepuk cermin pintu kenderaan Mail berulang kali untuk menyedarkan Mail yang seolah meracau sebaik sahaja terjaga dari lena. “Apahal kau terjerit – jerit? Aku oranglah!” pernyataan gadis orang asli tersebut membuatkan Mail tenang seketika. Mail pandang keadaan sekeliling & baru menyedari hari yang terang sudah bertukar menjadi malam yang gelap. “Kau ini siapa? Kenapa kau kejutkan aku dari tidur” Mail mula bertanya kepada gadis orang asli tersebut.

“Saya tinggal dalam kawasan hutan ini. Saya dalam perjalanan pulang dari kebun durian ke rumah pondok saya. Saya nampak kenderaan abang ini & saya perhatikan luar tingkap pintu kenderaan abang. Saya nampak abang macam sedang tidur. Saya pun cubalah periksa untuk pastikan abang tidur atau telah menemuiNya” jawab gadis orang asli itu dengan wajah yang tidak punya perasaan sambil jari telunjuk menunjuk & wajahnya toleh memandang ke atas.

“Alamak, dia ini gila jugakah?” mengeluh Mail dalam sanubari hatinya melihatkan mental gadis orang asli itu kelihatan tidak betul juga seperti mana lelaki orang asli yang beliau temui siang hari tadi. Perut Mail mula berkeroncong. Mail memerhatikan beberapa durian & beberapa tangkai petai yang dipegang oleh gadis orang asli tersebut. “Laparkah?” gadis orang asli tersebut melihat Mail yang dari tadi memerhatikan durian & petai yang dibawa oleh gadis itu sendiri dari kebun di dalam hutan.

Mail keluar dari kenderaanya. “Banyak lagikah di rumah ?” oleh kerana sudah terlalu lapar, Mail tidak mempedulikan perasaan segan malunya untuk bertanyakan sama ada gadis orang asli tersebut ada menyimpan lebih banyak lagi beberapa durian & beberapa tangkai petai di rumah pondok gadis orang asli tersebut. “Jomlah !” itu sahaja jawapan yang terkeluar dari mulut gadis orang asli. “Tunggu sebentar, saya hendak periksa enjin kenderaan saya !” Mail baru teringat tentang enjin kenderaannya yang tidak dapat dihidupkan petang tadi. “Esok pagi sahajalah periksa enjin kenderaan itu. Saya nak cepat balik sampai ke rumah !” tegas gadis orang asli tersebut yang membuatkan Mail akur & meninggalkan kenderaannya tanpa diperiksa enjinnya untuk mengikut gadis orang asli tersebut pulang ke rumah pondok gadis orang asli tersebut.

Setibanya di rumah pondok gadis orang asli tersebut, Mail tanpa perasaan segan malunya walaupun belum dijemput terus membuka tudung saji untuk melihat apakah lauk – pauk yang terhidang. “Emak kau tidak ajar adab sopankah?” gadis orang asli tersebut menegur perilaku kurang sopan Mail. “Emak aku memang ada ajar adab sopan tetapi kalau aku sudah terlalu lapar, aku tidak dapat berfikir dengan jelas apatah lagi memikirkan adab sopan.” Jawab Mail ringkas yang sedikit sebanyak menambahkan kesakitan di hati gadis orang asli tersebut tetapi gadis orang asli tersebut hanya menggelengkan kepalanya sahaja.

“Ini nasinya. Maaflah kalau nasi ini sudah tidak berapa hangat sebab aku masak dari tengahari tadi. Kalau kau nak, aku boleh tanak nasi lagi.” Gadis orang asli itu menghulurkan semangkuk nasi kepada Mail untuk Mail ceduk sendiri nasi. “Tidak mengapa. Yang hendak dimakan ialah nasi, bukan suhunya.” Mail menerima semangkuk nasi itu & menceduk nasi ke dalam pinggan yang disediakan oleh gadis orang asli tersebut. Tanpa banyak bicara, Mail terus menjamah makanan yang dihidang dengan nasi sebagai menu utama & beberapa lauk–pauk seperti sambal petai, gulai tempoyak & lain–lain.

Selesai menjamah makanan, Mail berehat seketika. “Siapa nama kau?” Setelah kekenyangan, barulah terlintas di fikiran Mail untuk bertanyakan siapakah nama gadis orang asli tersebut. Sambil tersenyum & ketawa kecil, gadis orang asli itu menjawab “Kau ini sudah kenyang, baru hendak bertanyakan nama. Patutnya dari tempat kenderaan kau rosak lagi, kau sudah tanyakan nama aku. Nama aku Riesha”. “Kau tinggal seorang sahajakah di sini ?” Mail bertanya lagi. “Aku tinggal dengan abang aku!” jawab Riesha ringkas. “Mana abang kau ?” pertanyaan Mail itu dijawab Riesha dengan jawapan “Itu, sebelah kau!” sambil menunjuk kepada lelaki yang memakai topeng hantu menyeramkan. Mail terkejut & sedikit menjerit.

“Abang, tak baik menyakat orang ! Abang dari mana tadi ?” Riesha pergi ke arah abangnya & membuka topeng hantu tersebut. “Kau rupanya !” Mail terkejut seketika apabila mendapati abang Riesha adalah lelaki orang asli yang beliau temui petang tadi. “Eh, kau kenal abang aku ? Pernah jumpakah ?” Riesha membalas bicara Mail dengan persoalan. “Ini abang kau?” Mail menjawab soalan Riesha dengan soalan. “Ya, namanya Hardy. Bagaimana kau jumpa abang aku ?” Riesha memperkenalkan abangnya kepada Mail dengan memaklumkan nama abang kandungnya sambil bertanya juga kepada Mail, bagaimana Mail bertemu Hardy.

Mail menceritakan kepada Riesha keadaan sebenar tentang bagaimana beliau bertemu Hardy di dalam hutan petang tadi. Di kesempatan yang sama, Mail juga bertanyakan kepada Riesha apakah Hardy sebenarnya tidak siuman atau bagaimana kerana pada permulaan bicara pada petang tadi, abang Riesha itu kelihatannya seperti orang normal hinggalah beberapa minit bicara selepas itu.

“Sebenarnya abang aku tidak gila tetapi dia menghidapi mental disorder !” Reisha memaklumkan kepada Mail tentang penyakit yang dihidapi oleh Hardy. “Mental disorder? Apa itu?” Mail sangat naïf tentang makna mental disorder. Oleh yang demikian, Mail pun bertanya kepada Reisha tentang definisi penyakit itu. “Secara ringkasnya, abang aku ini mengalami gangguan mental berkala. Adakalanya dia normal & adakalanya penyakit mental disordernya akan datang dengan sendirinya!” Reisha menjelaskan secara ringkas kepada Mail.

“Sejak bila dia menghidapinya? Sejak lahir lagikah?” pertanyaan ringkas Mail lagi kali ini dijawab panjang lebar oleh Riesha sambil mengimbau kembali kenangan lalu. “Dia tidak seperti itu sejak lahir. Ketika itu, kami berdua dalam perjalanan untuk memetik petai di dalam hutan. Kami melalui laluan di tepi gaung untuk menuju ke kebun petai. Akibat tergelincir, abang aku terjatuh ke dalam gaung & terhantuk pada batu yang keras. Kecederaannya sedikit parah. Aku bawanya ke klinik kesihatan di pekan berhampiran. Mujur sahaja beliau selamat tetapi doktor mengatakan bahawa terdapat komplikasi gegaran otak akibat terjatuh ke dalam gaung & hentakan keras pada batu yang menyebabkan ada waktunya Hardy akan hilang memorinya & pada ketika yang lain pula Hardy dapat berfikir dengan jelas. Doktor nyatakan ini adalah mental disorder. Sejak hari itu, Hardy akan jadi seperti orang yang tidak siuman & pada ketika yang lain juga, beliau kembali menjadi normal. Ia menjadi satu kitaran sehinggalah ke hari ini.” Begitulah penjelasan & imbauan yang diterangkan oleh Riesha kepada Mail.

“Oh! Patutlah semasa dia tunjukkan arah keluar jalan pintas, bicaranya seperti orang normal tetapi beberapa minit selepas itu, dia melarikan diri. Bila Hardy akan normal semula ?” Mail menyambung semula pertanyaannya kepada Riesha. “ Mungkin esok pagi, normal balik!” jawab Riesha ringkas. “Ibu–bapa kamu berdua ke mana?” Mail bertanya lagi. “Ibu – bapa kami sudah tiada sejak aku kecil lagi akibat kemalangan jalanraya. Peranan ibu – bapa aku di ambil alih oleh abang aku sebab kami tiada saudara–mara & tidak ada siapa yang kami kenal untuk mendapatkan pertolongan & perlindungan. Sekarang, aku yang menjaga abang aku.” Riesha menyambung bicaranya sambil tersenyum walaupun kelihatan beliau sedang menahan air mata. “Aku minta maaflah. Aku tidak sepatutnya bertanyakan soalan sebegitu kepada engkau.” Mail merasa serba salah kerana tersalah mengajukan soalan kepada Riesha.

“Tidak mengapalah. Aku sudah biasa. Eh, sebetulnya kau dari mana & hendak ke mana? Bagaimana engkau boleh sesat dalam hutan ini ?” pertanyaan Riesha sepertinya hendak mengalihkan tajuk perbualan mereka. “Aku dari Kuantan menuju pulang ke Kuala Lumpur. Aku ada taklimat & lawatan tapak untuk tender di Kuantan pagi tadi. Tengahari tadi, dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, terdapat kesesakan jalan – raya. Aku tidak mahu menunggu lama, terus masuk ke simpang hutan ini. Sudah berjam lamanya aku memandu di dalam hutan ini tetapi aku masih tidak jumpa jalan keluar sehinggalah aku bertemu dengan abang kau dank au sendiri. Begitulah ceritanya bagaimana aku boleh sesat di dalam hutan ini.” Begitulah cerita Mail kepada Riesha.

“Kasihan juga sama kau tetapi tidak mengapa, esok pagi aku akan tunjukkan kepada kau arah jalan keluar dari sini. Kau tidurlah sebelah abang aku itu.” Riesha menamatkan bicara pada malam itu. “Tidur sebelah abang kau ?” Mail bertanya seolah hairan. “Yalah, kamu fikir tidur sebelah aku pula ?” Riesha menjawab kembali pertanyaan Mail dalam bentuk soalan. “Bagaimana kalau abang kau terjaga & mencekik aku ketika aku sedang lena tidur ?” Mail mengajukan pertanyaan kembali kepada Riesha. “Jangan risaulah, tidak ada apa – apa yang akan berlaku !” Riesha member jaminan tersebut kepada Mail tetapi Mail tetap risau untuk tidur bersebelahan Hardy. Malam itu, Mail tetap tidur seperti biasa walaupun jiwanya tidak tenang.

“Bangun….. bangun….. bangun…..” Mail dikejutkan oleh Hardy. Malam yang gelap kini sudah bertukar menjadi pagi yang ceria. “Wah ! Jangan bunuh aku !” Sebaik sahaja Mail terjaga dari lamunan tidur & ternampak wajah Hardy yang mengejutkannya, Mail menjerit sekuat hati. “Woi….. woi….. woi….. Kau ini sihat atau tidak ? Bila masa aku nak bunuh kau ?” Hardy sedikit terkejut dengan perilaku Mail. Riesha yang sedang menyediakan sarapan hanya tersebyum melihat gelagat Mail. “Kau tidak perlu risaulah, Mail. Hardy sekarang normal.” Riesha menjelaskan kepada Mail tentang tentang semasa kesihatan Hardy.

“Oh, jadi yang kau terjerit tadi sebab sangka aku gila ?” Hardy bertanya kepada Mail sebaik sahaja mendengar penjelasan Riesha. “Tiada orang gila yang mengaku dirinya gila !” bicara Mail ringkas. “Kalau aku kata kau gila, apa yang akan kau jawab ?” pertanyaan Hardy itu membuatkan Mail terdiam seketika kerana Mail tahu pernyataannya sebentar tadi telah memakan dirinya sendiri. “Sudahlah. Jom sarapan !” Riesha mengajak Mail & Hardy untuk menjamah sarapan bersama. Mereka duduk semeja untuk menjamah sarapan bersama. “Bang, saya…..” Belum sempat Mail berbicara sesuatu kepada Hardy,bicara Mail telah dipintas oleh Hardy. “Tak perlulah kau hendak minta maaf & berbicara apa – apa, Riesha sudah ceritakan segalanya kepada aku” bicara Hardy ringkas.

“Aku hendak minta maaf kepada kau sebab tidak sempat menghabiskan tunjuk arah jalan pintas keluar dari hutan ini sebab penyakit aku.” Bicara Hardy memohon maaf kepada Mail. “Tidak mengapalah bang, saya faham !” Mail menjawab ringkas. “Nanti sesudah sarapan, Riesha akan tunjukkan kepada engkau arah keluar dari hutan ini.” Bicara ringkas Hardy itu dijawab dengan ucapan terima kasih oleh Mail. Sesudah menjamah sarapan, Mail & Riesha pergi kea rah kenderaan Mail sebelum Riesha menunjukkan arah jalan pintas untuk keluar dari hutan tersebut.

Setibanya mereka pada kenderaan Mail, enjin kenderaan pacuan 4 roda tersebut terus diperiksa oleh Mail & didapati wayar bateri kenderaan tercabut. Mail menyambungkan semula wayar bateri kenderaan tersebut & Mail cuba untuk menghidupkan kembali enjin kenderaan tersebut. Akhirnya Mail berjaya menghidupkan enjin kenderaan tersebut. Riesha memberi penerangan sambil menulis penerangan tersebut di atas sekeping kertas tentang arah jalan pintas untuk keluar dari hutan tersebut & memberikan kertas tersebut kepada Mail. Sebelum Mail mula bergerak. Mail mengucapkan jutaan terima kasih kepada Riesha & Hardy kerana telah banyak menolongnya walaupun adakalanya mereka telah juga sedikit menyusahkan Mail. Riesha juga mengucapkan terima kasih kepada Mail kerana sudi bermalam di rumah pondok bersama abangnya & memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami Mail. Mail juga memohon maaf kepada Riesha kerana Riesha & abangnya telah bersusah–payah menolongnya dengan menyediakan makan–minum & tempat penginapan sementara sebelum meneruskan perjalanan.

Setelah tamat bicara, Mail segera bergerak mengikuti tunjuk arah jalan pintas keluar dari hutan tersebut & akhirnya Mail berjaya menjumpai jalan pintas tersebut. Sepanjang perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, Mail terkenangkan memori manis bersama Riesha & Hardy walaupun baru semalam berjumpa tetapi kenangan itu akan kekal terpahat dalam sanubari Mail buat sepanjang hayatnya.

----- T A M A T -----

HAKCIPTA KHAIRUL FAIZI A.RAHMAN TERPELIHARA. ENTRI INI HANYA TERDAPAT DALAM VERSI BAHASA MELAYU SAHAJA. SEGALA CUBAAN UNTUK MENYALIN SEMULA ATAU MENTERJEMAHKAN DALAM APA JUA BAHASA/DIALEK ATAU MENGOLAH SEMULA DALAM APA JUA FORMAT SAMA ADA DALAM BENTUK FILEM PENDEK, KOMIK KARTUN, CEREKA ANIMASI & SEBAGAINYA TANPA KEIZINAN DARIPADA PENULIS BLOG YANG TELAH DINYATAKAN NAMANYA DI AWAL FRASA PERINGATAN HAKCIPTA INI ADALAH DILARANG SAMA SEKALI & TINDAKAN PERUNDANGAN SAMA ADA DI PERINGKAT ANTARABANGSA ATAU DOMESTIK ATAU KEDUA–DUANYA SEKALI (YANG MANA BERSESUAIAN) AKAN DIKENAKAN KEPADA MEREKA YANG DENGAN SENGAJA & TERANG – TERANGAN MELANGGAR HAK CIPTA. SEKIAN, TERIMA KASIH.
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...