Islamofobia...

Monday, January 7, 2019
iFaizi
blogger
Mat baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak di rumah.

Din pula sedang menonton TV di ruang tamu sesudah selesai solat Maghrib tetapi belum menunaikan solat Isyak.

Din sedang menonton rakaman PVR rancangan keislaman di kaca TV. Rancangan tersebut mengupas isu tentang “Islamofobia” di benua Eropah.

Ketika iklan sedang disiarkan di kaca TV... Din sempat melihat media sosial di telefon pintarnya.

Mat & Din... mereka berdua adalah sahabat yang tinggal serumah.

Sesudah selesai menunaikan solat Isyak... Mat keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu. Mat melihat Din yang sedang melayari media sosial di telefon pintar milik Din.

“Kau dah solat Isyak, Din?” Mat bertanya kepada Din.

“Nanti sebelum tidur... aku solatlah.” Din menjawab ringkas.

Mat duduk di sofa untuk menonton rancangan TV.

Iklan masih bersiaran di kaca TV dan Mat tetap menontonnya.

“Kalau kau nak langkau iklan... kau lajukan saja... ini rakaman. Aku saja tak langkau iklan sebab nak sambil melayari media sosial.” Din beritahu Mat.

“Rancangan apa ni?” Mat bertanya kepada Din.

“Rancangan tentang Islamofobia di benua Eropah.” Din menjawab ringkas.

Belum pun sempat Mat nak mencapai alat kawalan jauh Astro untuk melangkau iklan... Din merungut seorang diri.

“Celaka punya Atheist & Ex Muslim!” Din marah tapi nada suara tidak tinggi.

“Kenapa?” Mat bertanya kepada Din.

“Ini haaa... laman Atheist & Ex Muslim di Facebook... mereka mempersoalkan tentang agama & ketuhanan terutama sekali tentang Islam! Memang celaka mereka ni...” Din menjawab pertanyaan Mat.

“Sekejap... kau follow laman Atheist & Ex Muslim di Facebook?” Mat bertanya kepada Din.

“Ya!” Din jawab ringkas.

“Untuk apa?” Mat bertanya lagi.

“Supaya aku boleh memantau apa agenda mereka dalam menyesatkan umat Islam!” Din menjawab pertanyaan Mat.

“Agenda menyesatkan umat Islam? Bagaimana mereka lakukan?” Mat tenang bertanya lagi untuk tahu lebih lanjut.

“Mereka menimbulkan keraguan di hati penganut agama terutama Islam dengan bertanya beberapa soalan dan disamping itu juga mereka menerangkan sebab di sebalik soalan yang mereka ajukan.” Din menerangkan kepada Mat.

“Apa antara soalan yang mereka tanya?” Mat bertanya kepada Din.

“Antara soalannya ialah bagaimana orang Islam boleh membuktikan bahawa segala ayat yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran merupakan ayat yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril untuk disampaikan kepada sekalian manusia?” Din bicara kepada Mat.

“Terus? Apa antara sebab mereka bertanya soalan sebegitu?” Mat ingin tahu lebih lanjut.

“Mereka memberitahu antara sebab mereka bertanya soalan sebegitu ialah jika ada seseorang di zaman moden ini yang mendakwa orang itu adalah utusan Allah yang sebenar-benarnya yang terakhir dan membawa satu buku yang ditulis oleh orang itu sendiri yang mana buku itu ditulis dengan menyalin isi kandungan kitab suci Al - Quran, Injil, Taurat & Zabur dan melakukan sedikit pengubahsuaian serta penambahan yang cuba diselarikan dengan persekitaran semasa... adakah kita akan percaya dengan orang tersebut?” Din menjelaskan panjang lebar yang disudahi dengan pertanyaan.

“Sudah tentulah orang itu pembohong, menyebarkan ajaran sesat atau mungkin juga gila atau ada penyakit mental yang dalam Bahasa Inggeris dipanggil mental illness.” Mat menjawab.

“Itulah penjelasan yang disambung oleh kelompok Atheist & Ex Muslim. Mereka menjelaskan jika ada seseorang di zaman moden ini mendakwa dirinya adalah utusan Allah yang sebenar-benarnya terakhir dan juga mendakwa buku atau kitab yang ditulisnya dan dipegangnya adalah ayat tambahan daripada Allah... bukankah kita akan kata orang itu sebagai pembohong, menyebarkan ajaran sesat atau gila?” Din menjelaskan.

“Terus?” Mat ingin tahu lebih lagi.

“Kelompok Atheist dan Ex Muslim ni tambahnya lagi... Jika orang itu mendakwa dirinya adalah utusan yang sebenar-benar terakhir dan buku yang dipegangnya dikatakan sebagai ayat daripada Allah... bukankah bebanan untuk membuktikannya terletak di bahu yang mendakwa?” Din meneruskan penjelasan yang disudahi dengan pertanyaan.

“Lagi?” Mat yakin cerita belum habis lagi.

“Oleh kerana itu jualah... kelompok Atheist dan Ex Muslim ini mendakwa bahawa orang Islam harus membuktikan bahawa segala ayat daripada Al - Quran sememangnya datang daripada Allah dan bukannya sekadar memetik ayat daripada kitab suci itu semata-mata nak tunjukkan kebenaran agama Islam.” Din menyambung bicara kepada Mat.

“Kurang ajar betul mereka ni kan?” Mat bicara ringkas.

“Kan?!” Din mengiyakan.

“Apa lagi yang kelompok Atheist & Ex Muslim ni kata di laman Facebook mereka?” Mat ingin tahu lebih lagi tentang kebiadapan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap Islam.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa semakin banyak mereka mendalami kitab suci Al - Quran... semakin jauh mereka daripada Islam...” Din meneruskan bicara.

“Nampak sangat mereka ini pembohong! Bagaimana mereka boleh semakin jauh daripada Islam apabila mereka mendalami ayat-ayat dalam kitab suci Al - Quran?” Mat tak puas hati.

“Kan?!” Din sekali lagi mengiyakan.

“Menurut kelompok Atheist & Ex Muslim... bukankah penganut agama terutama sekali penganut Islam percaya sesungguhnya tuhan itu maha berkuasa dan maha mengetahui... maha mengetahuinya tuhan itu bersifat tiada batasan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil infinity... bermakna jualah bahawa maha mengetahui tuhan itu tiada pemula dan tiada pengakhiran... tiada pemula bahkan lebih awal daripada sebelum alam semesta tercipta dan tiada pengakhiran bahkan sehingga akhirat.” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Jadi?” Mat ingin tahu lebih lagi.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa inilah antara kelemahan - kelemahan point kitab suci Al - Quran apabila tanpa sedar menunjukkan sifat tuhan itu setara lemah dengan manusia dan di sinilah jualah mereka mempersoalkan bagaimana orang Islam boleh mengatakan bahawa kitab suci Al - Quran itu sempurna dan relevan sepanjang zaman.” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Berani & biadapnya mereka mengatakan tuhan lemah setara manusia. Apa hujah mereka mengatakan sebegitu?” Mat ingin tahu lagi.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa bagaimana tuhan yang maha mengetahui lagi maha berkuasa seperti teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sehinggakan nak haramkan arak secara mutlak pun secara berperingkat. Adakah sifat tuhan itu seperti manusia untuk melaksanakan sesuatu pengharaman harus ~ Tunggu & Lihat? Jika ada yang kata bahawa manusia perlu melihat sebab kenapa sesuatu pengharaman itu wajar dilaksanakan sebelum ia benar2 dilaksanakan pengharamannya... adakah orang tak akan melihat sebab pengharaman tersebut setelah dilaksanakan pengharamannya? Itulah antara hujah kelompok ini...” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Hmmm... makin melampau kelompok Atheist & Ex Muslim ni...” Mat meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Selain daripada mempertikaikan tuhan, agama dan kitab... mereka juga mempertikaikan ulamak kita!” Din menyambung bicara.

“Wah, dasyatnya mereka ni! Apa yang mereka pertikaikan sangat ulama ni? Ini yang buat aku geram sangat dengan kelompok ni!” Semakin meluap-luap api kemarahan Mat.

“Kelompok mereka ini menyatakan bahawa ulamak suka sangat buat hukum sendiri walaupun hukum itu tidak jelas di dalam kitab suci Al - Quran.” Din menyambung bicara.

“Apa benda hukum yang tidak jelas di dalam kitab suci Al - Quran sehinggakan mereka ini mempertikaikan ulamak?” Kemarahan Mat masih belum reda.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim menyatakan bahawa majoriti ulama Islam sepakat mengatakan rokok itu haram kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding manfaat tapi ramai atau mungkin jua boleh dikatakan majoriti lelaki Islam dewasa seluruh dunia menghisap rokok dan majoriti lelaki Islam dewasa mendakwa bahawa tiada dinyatakan dengan sangat jelas bahawa rokok itu haram di dalam kitab suci Al - Quran.” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Terus?” Mat minta Din meneruskan bicara.

“Menurut kelompok Atheist dan Ex Muslim... sejarah rokok tembakau bermula adalah selepas wafatnya Rasullah S.A.W... bukankah tuhan itu maha mengetahui daripada sebelum terciptanya alam semesta ini sehinggalah ke alam akhirat? Jika rokok itu sangat jelas haramnya... bukankah tuhan boleh sahaja berfirman Kun Fa Yakun yang bermaksud maka jadilah... dan dalam konteks ini tuhan boleh jadikan wujudnya apa yang kita panggil rokok tembakau di zaman Rasullah S.A.W agar berkemungkinan konteks yang sangat jelas pengharaman rokok boleh dimasukkan ke dalam kitab suci Al-Quran?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Bukan main bersungguh mereka mengkaji kitab suci Al - Quran bagi menghina Islam!” Mat menyindir kelompok Atheist & Ex Muslim.

“Apa lagi penghinaan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap Islam?” Mat mahu tahu sejauh mana kebiadapan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap kesucian agama Islam.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini mendakwa jika penganut agama Islam & Nasrani boleh mempercayai keabadian tuhan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil eternal god yang mana tuhan itu tiada permulaan dan tiada pengakhiran... kenapa tidak mempercayai kepada keabadian alam semesta atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil eternal universe? Mereka kata... kenapa tidak boleh percaya kepada keabadian alam semesta yang tiada permulaan dan juga tiada pengakhiran?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Aduh... sakit kepala aku dengan kelompok ni... apa lagi yang mereka kata di laman Facebook mereka sendiri?” Mat sakit hati tapi ingin tahu lagi...

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini kata... mereka pernah ditanya oleh muslim dan muslimah dan bahkan juga penganut Nasrani dengan  pertanyaan ~ bagaimana jika kelompok Atheist dan Ex Muslim ini salah dan golongan yang berpegang kepada Islam atau Nasrani adalah benar? Bukankah lebih selamat jika kita kekal dalam anutan Islam atau Nasrani just in case?” Din menyambung bicara.

“Hmmm... menarik pertanyaan tu... apa maklumbalas daripada kelompok ini?” Mat ingin tahu.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini menjawab... tiada istilah kita memilih untuk percaya apa yang kita percaya... kita percaya adalah kerana kita sememangnya percaya dan bukannya kita memilih untuk percaya kepada sesuatu yang kita percaya. Jika kita boleh memilih untuk percaya tentang sesuatu... kelompok Atheist dan Ex Muslim ini bagi contoh bolehkah kita memilih untuk percaya adanya makhluk asing atas kepala kita? Kita belum dapat melihat kewujudan makhluk asing dengan mata kasar kita atau berhadapan secara dekat tapi mereka kata... percayalah walaupun belum dibuktikan... adakah ia berkesan?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Bagaimana jika kelompok mereka ini salah dan disebabkan kelompok mereka ini memilih haluan yang sebegitu... pengakhiran mereka adalah api neraka jahanam?” Mat bertanya.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ada menyatakan bahawa mereka ada menerima soalan yang sebegitu...” Din menyambung bicara.

“Jadi... apa jawapan mereka?” Mat ingin tahu.

“Kelompok mereka ini menjawab... jika akhirnya mereka bertemu Allah, rabb, tuhan, god, lord, bhagvan atau apa jua perkataan manusia merujuk kepada apa yang didakwa sebagai si pencipta alam semesta... mereka akan bertanya ~ adakah kami akan dibakar di api neraka hanya kerana tidak mengikuti apa yang kami lihat sebagai satu perkara yang masih terdapat kelemahan sedangkan engkau adalah maha sempurna seharusnya, sewajarnya dan tiada kelemahan cacat cela walaupun sebesar zarah? Apakah engkau yang maha sempurna mahu kami mengikuti sesuatu yang dianggap kononnya suruhan daripada engkau secara membuta tuli tanpa asas pembuktian yang kukuh bahawa ini adalah sememangnya suruhan engkau?” Din meyambung bicara panjang lebar.

“Ada tak orang Islam bertanya kepada kelompok ini... apa akan jadi jika Allah tetap mengjerumuskan diri kelompok mereka ini ke dalam api neraka jahanam?” Mat ingin tahu.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini kata mereka bukan sahaja menerima soalan sebegitu daripada orang Islam tapi bahkan jua daripada orang Nasrani.” Din menyambung bicara.

“Jadi, apa jawapan mereka?” Mat ingin tahu.

“Kelompok ini kata bahawa golongan yang berpegang kepada agama tanpa mengira apa jua agama yang dianuti iaitu orang seperti kita ni... aku, kau dan ramai lagi penganut agama lain... percaya bahawa sifat tuhan si pencipta ini maha sempurna... sifatNya maha mulia... apabila bercakap tentang maha mulia... sudah semestinya sifat kebaikan tuhan itu tersangat jauh melebihi manusia dan lain-lain spesis ciptaanNya.” Din menyambung bicara.

“Jadi?” Mat bertanya.

“Kelompok ini berkata jika masih terdapat manusia yang masih mengasihi ahli keluarga di penjara atau mengasihi manusia lain walaupun manusia itu jahat dan melukakan hati manusia lain... kenapa tuhan hendak lontarkan mereka ke api neraka jahanam hanya kerana mereka tidak mahu mengikut apa yang kononnya suruhan tuhan pencipta alam tapi pada masa yang sama terdapat kelemahan dalam suruhan itu?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Fuh... dah terlalu jauh menyimpang ideologi mereka ini. Sangat melampaui batas!” Ujar Mat.

“Kan?! Sebab itu aku panggil mereka ini Atheist & Ex Muslim yang celaka!” Din meluahkan kemarahan.

“Jadi... nak buat apa sekarang ni?” Mat bertanya.

“Aku nak report laman Facebook mereka ini agar ditutup. Jangan biarkan mereka ini kelirukan orang Islam kita!” Din menjawab ringkas.

“Sekejap...” Mat menahan tangan Din.

“Kenapa?” Din bertanya.

“Kau tak rasa ke... apa yang kau buat ni lebih kurang sama saja dengan tindakan golongan Islamofobia... menyekat kemaraan tanpa menjelaskan?” Mat pula bertanya.

“Dah tu? Takkan nak biarkan mereka ini menyesatkan orang Islam kita?” Din pula bertanya.

“Kita jawablah segala macam pertanyaan dan hujah kelompok mereka. Kalau kita sekat kelompok mereka... bukankah ia sama seperti kita mengiyakan hujah kelompok mereka? Ia seperti seolah-olah kebenaran sudah memihak kepada kelompok mereka dan kerana itu... kita menyekat kelompok mereka sama seperti mana golongan Islamofobia menyekat pendakwah Islam.” Mat menjelaskan.

“Tapi aku tak tahu nak jawab soalan dan hujah mereka... kau tahu?” Din bertanya kepada Mat.

“Jika aku, kau dan ramai orang Islam tidak tahu untuk menjawab soalan dan hujah kelompok ini... bukannya bermakna tiada seorang pun orang Islam yang tidak tahu menjawabnya. Kita sering mengecam golongan Islamofobia tapi tanpa kita sedar... apalah beza diri kita dengan golongan Islamofobia?” Mat menjelaskan.

“Hmmm...” Din termenung sekejap...

“Dah... pergi solat Isyak! Jangan tangguh-tangguh.” Mat menyuruh Din segerakan solat Isyak.

  • TAMAT -


#ifaizi #ifaizizone

 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...