Gokil ~ GILALAH!!!...

Wednesday, February 10, 2016
iFaizi
blogger
Aku melihat jam di dinding pejabat sudah menunjukan pukul 5 petang. Ada setengah jam lagi untuk waktu pejabat tamat. Aku sudah tidak sabar untuk pulang ke rumah setelah seharian penat bekerja. Tambahan pula dalam tempoh 3 bulan kebelakangan ini... Aku sering bekerja hingga lewat malam dan adakalanya bekerja sehingga pukul 4 pagi.

Sementara menunggu waktu pejabat tamat... aku sedaya-upaya untuk cuba siapkan laporan kemajuan kerja di tapak pembinaan agar kerja itu tidak dibawa pada keesokan harinya.



Sedang aku tekun menyiapkan kerja aku... Encik Heirwan datang ke arah meja aku. “Halim... awak boleh tolong tak?” Encik Heirwan bertanya kepada aku. “Ada apa, bos?” Aku bertanya kembali kepada Encik Heirwan. Sememangnya kacau daun sungguh Encik Heirwan ini. Ada sahaja saat-saat akhir meminta pertolongan daripadaku. Nak tambah kerjalah tu...

“Boleh tak malam ini awak turun KL sebab esok pagi ada taklimat tender di JKR Jalan Sultan Salahuddin. Semua lesen kontraktor PKK, CIDB, sijil SSM syarikat, surat wakil kuasa dan dokumen-dokumen penting berkaitan yang diperlukan untuk taklimat tender itu sudah disediakan. Peruntukan perbelanjaan perjalanan, penginapan dan makan minum pergi balik juga sudah disediakan. Bagaimana, boleh tak?” Encik Heirwan beri arahan dalam bentuk pertanyaan.


Pada aku... kalau Encik Heirwan bertanya apakah boleh? Itu bermakna “Kau mesti buat!” aku dah faham sangat. “Errr... tak ada orang lain yang boleh pergi ke, Encik Heirwan?” Aku cuba bertanyakan tentang calon alternatif selain aku untuk memikul tanggungjawab tu.

“Saya ni... kalau boleh... saya sendiri yang nak ke KL tu... tapi... apakan daya... esok pagi saya ada mesyuarat dengan JKR Pahang. Malam ni, saya dah berangkat ke Kuantan.” Encik Heirwan menjelaskan. “Bagaimana pula dengan Jeff, Salina dan Nazri?” Aku masih sedaya upaya untuk mencari pengganti kepada aku untuk ke KL.

“Esok banyak tapak pembinaan ada mesyuarat serentak. Jeff ada mesyuarat dengan JKR Mersing, Salina ada mesyuarat dengan JKR Muar dan Nazri pula mesyuarat dengan JKR Pontian. Semua mesyuarat ini ada kehadiran Jurutera Daerah masing-masing. Oleh itu, memang mereka kena hadir.” Encik Heirwan menjelaskan. Nampak gayanya memang aku tiada pilihan lain. Terpaksa jualah aku pergi ke KL pada malam ini juga.

“Taklimat tender projek apa ini?” Aku ingin tahu. “Taklimat tender projek pembinaan hospital baru di Bangi.” Encik Heirwan menjelaskan ringkas. “Encik Zaini tahu tak tentang taklimat tender projek ini?” Aku bertanya. Encik Zaini ialah pengarah urusan syarikat tempat aku bekerja. Senang cakap... Encik Zaini ialah Big Boss.

“Ya, dia dah tahu tentang taklimat projek ini dan dia minta awak jadi wakil syarikat untuk ke taklimat tender projek itu.” Encik Heirwan menjelaskan ringkas. “Tapi saya tak tahu jalan di KL... Saya belum pernah pergi KL!” Aku cuba mengelak untuk kali terakhir.

“Belajarlah... bukankah awak ada GPS!” Encik Heirwan mematikan langkah aku untuk mengelak. “Errr... mana ada!” Aku cuba menafikan. “Awak dah lupa ke? Beberapa hari yang lepas... kita berdua pergi Singapore naik kereta awak. Awak guna GPS awak untuk memandu sekitar Singapore. Awak dah lupa ke?” Encik Heirwan sekali lagi mematikan langkah aku untuk menggelak.


“Baiklah... mana duitnya?” Aku akhirnya akur.

“Nah... RM500! Lebih dari cukup untuk perjalanan pergi balik, duit minyak, duit tol, makan minum dan penginapan! Kalau ada baki... awak pulangkan balik beserta resit-resit perbelanjaan pergi balik. Nah, awak tandatangan akuan penerimaan tunai ni!” Encik Heirwan menghulurkan duit itu dan akuan penerimaan tunai.

Aku menurunkan tandatangan pada akuan penerimaan tunai syarikat dan mengambil duit berjumlah RM500 beserta beberapa dokumen penting untuk taklimat tender daripada Encik Heirwan.

Selepas waktu Maghrib... aku memulakan pemanduan aku menuju ke KL dari JB. Sepanjang pemanduan selama 3 jam setengah dari tol Skudai hinggalah tol Sungei Besi... pemanduan aku lancar tiada bermasalah. Namun, segalanya berubah sebaik sahaja aku keluar dari tol Sungei Besi.

Sebaik sahaja aku keluar dari tol Sungei Besi... tiba-tiba ada sebuah kereta memintas kereta aku dan seorang penumpang dalam kereta yang memintas kereta aku telah meminta aku memberhentikan kereta aku ke tepi. “Apa hal pula ini?” Aku bertanya dalam hati.

Sebaik sahaja aku memberhentikan kereta aku ke tepi... Aku bertanya... “Apa hal ini, Encik?”. “Encik ni... Encik Halim kan?” salah seorang daripada mereka berdua bertanya kepada aku. “Ya, saya!” Aku jawab ringkas. “Kami terpaksa tarik kereta encik sebab dah 3 bulan encik tak bayar kereta ini. Ini surat daripada pihak bank dan dan ini pula laporan polis yang kami buat untuk memberi kami kuasa menahan dan tarik kereta yang tak dibayar ansuran selama 3 bulan. Sila beri kerjasama.” Salah seorang lagi memberi penjelasan.


Aku baru teringat yang aku memang tak bayar ansuran kereta selama 3 bulan. AKU LUPALAH! Aku sibuk sangat dengan kerja. Selepas kereta aku kena tarik... aku menerima panggilan daripada Encik Heirwan. “Halim, awak balik semula ke JB. Taklimat tender itu ditunda pada minggu hadapan. Belum sempat aku bercakap... Encik Heirwan dah putuskan talian telefon. “WAH, BAGUS SANGATLAH MACAM NI! GILALAH HIDUP INI!” Aku terjerit-jerit di tepi lebuhraya berhampiran tol Sungei Besi pada malam itu.



—–     T   A   M   A   T     —–


______________________________________ KHAIRUL FAIZI A.RAHMAN'S ALL RIGHTS RESERVED. ANY ATTEMPT TO COPY OF OR TRANSLATION IN ANY LANGUAGE / DIALECT OR PROCESSING OF IN ANY FORM EITHER OF SHORT FILM, COMIC AND CARTOON, ANIMATED FEATURE AND SO ON WITHOUT CONSENT OF BLOGGERS HAVE EXPRESSED HIS NAME AT THE BEGINNING OF THE COPYRIGHT WARNING PHRASE IS FORBIDDEN & ACTION OF ANY TRADE IS IN THE INTERNATIONAL OR DOMESTIC OR BOTH ( WHICH SUIT WITH THE AGREEMENT ) WILL BE APPLICABLE TO THOSE WHO ARE VIOLATED THE COPYRIGHT. THANK YOU. THIS STORY IS AN ALL-ENCOMPASSING RECORD. IT HAS NOTHING TO DO WITH LIFE OR ANYTHING / ANY PERSON THAT HAD PASSED AWAY. IF IT IS RELATED TO THE WORLD, IT JUST A COINCIDENCE ONLY. HAKCIPTA KHAIRUL FAIZI A.RAHMAN TERPELIHARA. SEGALA CUBAAN UNTUK MENYALIN SEMULA ATAU MENTERJEMAHKAN DALAM APA JUA BAHASA / DIALEK ATAU MENGOLAH SEMULA DALAM APA JUA FORMAT SAMA ADA DALAM BENTUK FILEM PENDEK, KOMIK KARTUN, CEREKA ANIMASI & SEBAGAINYA TANPA KEIZINAN DARIPADA PENULIS BLOG YANG TELAH DINYATAKAN NAMANYA DI AWAL FRASA PERINGATAN HAKCIPTA INI ADALAH DILARANG SAMA SEKALI & TINDAKAN PERUNDANGAN SAMA ADA DI PERINGKAT ANTARABANGSA ATAU DOMESTIK ATAU KEDUA – DUANYA SEKALI ( YANG MANA BERSESUAIAN ) AKAN DIKENAKAN KEPADA MEREKA YANG DENGAN SENGAJA & TERANG – TERANGAN MELANGGAR HAK CIPTA. SEKIAN, TERIMA KASIH. CERITA INI ADALAH REKAAN SEMATA-MATA. TIADA KAITAN DENGAN YANG MASIH HIDUP ATAU PUN YANG TELAH MENINGGAL DUNIA. JIKA ADA KAITAN DENGAN DUNIA SEBENAR, IA HANYALAH SATU KEBETULAN SAHAJA. ______________________________________
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...