Islamofobia...

Monday, January 7, 2019
Mat baru sahaja selesai menunaikan solat Isyak di rumah.

Din pula sedang menonton TV di ruang tamu sesudah selesai solat Maghrib tetapi belum menunaikan solat Isyak.

Din sedang menonton rakaman PVR rancangan keislaman di kaca TV. Rancangan tersebut mengupas isu tentang “Islamofobia” di benua Eropah.

Ketika iklan sedang disiarkan di kaca TV... Din sempat melihat media sosial di telefon pintarnya.

Mat & Din... mereka berdua adalah sahabat yang tinggal serumah.

Sesudah selesai menunaikan solat Isyak... Mat keluar dari biliknya menuju ke ruang tamu. Mat melihat Din yang sedang melayari media sosial di telefon pintar milik Din.

“Kau dah solat Isyak, Din?” Mat bertanya kepada Din.

“Nanti sebelum tidur... aku solatlah.” Din menjawab ringkas.

Mat duduk di sofa untuk menonton rancangan TV.

Iklan masih bersiaran di kaca TV dan Mat tetap menontonnya.

“Kalau kau nak langkau iklan... kau lajukan saja... ini rakaman. Aku saja tak langkau iklan sebab nak sambil melayari media sosial.” Din beritahu Mat.

“Rancangan apa ni?” Mat bertanya kepada Din.

“Rancangan tentang Islamofobia di benua Eropah.” Din menjawab ringkas.

Belum pun sempat Mat nak mencapai alat kawalan jauh Astro untuk melangkau iklan... Din merungut seorang diri.

“Celaka punya Atheist & Ex Muslim!” Din marah tapi nada suara tidak tinggi.

“Kenapa?” Mat bertanya kepada Din.

“Ini haaa... laman Atheist & Ex Muslim di Facebook... mereka mempersoalkan tentang agama & ketuhanan terutama sekali tentang Islam! Memang celaka mereka ni...” Din menjawab pertanyaan Mat.

“Sekejap... kau follow laman Atheist & Ex Muslim di Facebook?” Mat bertanya kepada Din.

“Ya!” Din jawab ringkas.

“Untuk apa?” Mat bertanya lagi.

“Supaya aku boleh memantau apa agenda mereka dalam menyesatkan umat Islam!” Din menjawab pertanyaan Mat.

“Agenda menyesatkan umat Islam? Bagaimana mereka lakukan?” Mat tenang bertanya lagi untuk tahu lebih lanjut.

“Mereka menimbulkan keraguan di hati penganut agama terutama Islam dengan bertanya beberapa soalan dan disamping itu juga mereka menerangkan sebab di sebalik soalan yang mereka ajukan.” Din menerangkan kepada Mat.

“Apa antara soalan yang mereka tanya?” Mat bertanya kepada Din.

“Antara soalannya ialah bagaimana orang Islam boleh membuktikan bahawa segala ayat yang terkandung dalam kitab suci Al-Quran merupakan ayat yang disampaikan oleh Allah kepada Nabi Muhammad S.A.W melalui malaikat Jibril untuk disampaikan kepada sekalian manusia?” Din bicara kepada Mat.

“Terus? Apa antara sebab mereka bertanya soalan sebegitu?” Mat ingin tahu lebih lanjut.

“Mereka memberitahu antara sebab mereka bertanya soalan sebegitu ialah jika ada seseorang di zaman moden ini yang mendakwa orang itu adalah utusan Allah yang sebenar-benarnya yang terakhir dan membawa satu buku yang ditulis oleh orang itu sendiri yang mana buku itu ditulis dengan menyalin isi kandungan kitab suci Al - Quran, Injil, Taurat & Zabur dan melakukan sedikit pengubahsuaian serta penambahan yang cuba diselarikan dengan persekitaran semasa... adakah kita akan percaya dengan orang tersebut?” Din menjelaskan panjang lebar yang disudahi dengan pertanyaan.

“Sudah tentulah orang itu pembohong, menyebarkan ajaran sesat atau mungkin juga gila atau ada penyakit mental yang dalam Bahasa Inggeris dipanggil mental illness.” Mat menjawab.

“Itulah penjelasan yang disambung oleh kelompok Atheist & Ex Muslim. Mereka menjelaskan jika ada seseorang di zaman moden ini mendakwa dirinya adalah utusan Allah yang sebenar-benarnya terakhir dan juga mendakwa buku atau kitab yang ditulisnya dan dipegangnya adalah ayat tambahan daripada Allah... bukankah kita akan kata orang itu sebagai pembohong, menyebarkan ajaran sesat atau gila?” Din menjelaskan.

“Terus?” Mat ingin tahu lebih lagi.

“Kelompok Atheist dan Ex Muslim ni tambahnya lagi... Jika orang itu mendakwa dirinya adalah utusan yang sebenar-benar terakhir dan buku yang dipegangnya dikatakan sebagai ayat daripada Allah... bukankah bebanan untuk membuktikannya terletak di bahu yang mendakwa?” Din meneruskan penjelasan yang disudahi dengan pertanyaan.

“Lagi?” Mat yakin cerita belum habis lagi.

“Oleh kerana itu jualah... kelompok Atheist dan Ex Muslim ini mendakwa bahawa orang Islam harus membuktikan bahawa segala ayat daripada Al - Quran sememangnya datang daripada Allah dan bukannya sekadar memetik ayat daripada kitab suci itu semata-mata nak tunjukkan kebenaran agama Islam.” Din menyambung bicara kepada Mat.

“Kurang ajar betul mereka ni kan?” Mat bicara ringkas.

“Kan?!” Din mengiyakan.

“Apa lagi yang kelompok Atheist & Ex Muslim ni kata di laman Facebook mereka?” Mat ingin tahu lebih lagi tentang kebiadapan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap Islam.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa semakin banyak mereka mendalami kitab suci Al - Quran... semakin jauh mereka daripada Islam...” Din meneruskan bicara.

“Nampak sangat mereka ini pembohong! Bagaimana mereka boleh semakin jauh daripada Islam apabila mereka mendalami ayat-ayat dalam kitab suci Al - Quran?” Mat tak puas hati.

“Kan?!” Din sekali lagi mengiyakan.

“Menurut kelompok Atheist & Ex Muslim... bukankah penganut agama terutama sekali penganut Islam percaya sesungguhnya tuhan itu maha berkuasa dan maha mengetahui... maha mengetahuinya tuhan itu bersifat tiada batasan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil infinity... bermakna jualah bahawa maha mengetahui tuhan itu tiada pemula dan tiada pengakhiran... tiada pemula bahkan lebih awal daripada sebelum alam semesta tercipta dan tiada pengakhiran bahkan sehingga akhirat.” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Jadi?” Mat ingin tahu lebih lagi.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa inilah antara kelemahan - kelemahan point kitab suci Al - Quran apabila tanpa sedar menunjukkan sifat tuhan itu setara lemah dengan manusia dan di sinilah jualah mereka mempersoalkan bagaimana orang Islam boleh mengatakan bahawa kitab suci Al - Quran itu sempurna dan relevan sepanjang zaman.” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Berani & biadapnya mereka mengatakan tuhan lemah setara manusia. Apa hujah mereka mengatakan sebegitu?” Mat ingin tahu lagi.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim mendakwa bagaimana tuhan yang maha mengetahui lagi maha berkuasa seperti teragak-agak untuk menguatkuasakan undang-undang sehinggakan nak haramkan arak secara mutlak pun secara berperingkat. Adakah sifat tuhan itu seperti manusia untuk melaksanakan sesuatu pengharaman harus ~ Tunggu & Lihat? Jika ada yang kata bahawa manusia perlu melihat sebab kenapa sesuatu pengharaman itu wajar dilaksanakan sebelum ia benar2 dilaksanakan pengharamannya... adakah orang tak akan melihat sebab pengharaman tersebut setelah dilaksanakan pengharamannya? Itulah antara hujah kelompok ini...” Din menyambung bicara panjang lebar.

“Hmmm... makin melampau kelompok Atheist & Ex Muslim ni...” Mat meluahkan rasa tidak puas hatinya.

“Selain daripada mempertikaikan tuhan, agama dan kitab... mereka juga mempertikaikan ulamak kita!” Din menyambung bicara.

“Wah, dasyatnya mereka ni! Apa yang mereka pertikaikan sangat ulama ni? Ini yang buat aku geram sangat dengan kelompok ni!” Semakin meluap-luap api kemarahan Mat.

“Kelompok mereka ini menyatakan bahawa ulamak suka sangat buat hukum sendiri walaupun hukum itu tidak jelas di dalam kitab suci Al - Quran.” Din menyambung bicara.

“Apa benda hukum yang tidak jelas di dalam kitab suci Al - Quran sehinggakan mereka ini mempertikaikan ulamak?” Kemarahan Mat masih belum reda.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim menyatakan bahawa majoriti ulama Islam sepakat mengatakan rokok itu haram kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan berbanding manfaat tapi ramai atau mungkin jua boleh dikatakan majoriti lelaki Islam dewasa seluruh dunia menghisap rokok dan majoriti lelaki Islam dewasa mendakwa bahawa tiada dinyatakan dengan sangat jelas bahawa rokok itu haram di dalam kitab suci Al - Quran.” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Terus?” Mat minta Din meneruskan bicara.

“Menurut kelompok Atheist dan Ex Muslim... sejarah rokok tembakau bermula adalah selepas wafatnya Rasullah S.A.W... bukankah tuhan itu maha mengetahui daripada sebelum terciptanya alam semesta ini sehinggalah ke alam akhirat? Jika rokok itu sangat jelas haramnya... bukankah tuhan boleh sahaja berfirman Kun Fa Yakun yang bermaksud maka jadilah... dan dalam konteks ini tuhan boleh jadikan wujudnya apa yang kita panggil rokok tembakau di zaman Rasullah S.A.W agar berkemungkinan konteks yang sangat jelas pengharaman rokok boleh dimasukkan ke dalam kitab suci Al-Quran?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Bukan main bersungguh mereka mengkaji kitab suci Al - Quran bagi menghina Islam!” Mat menyindir kelompok Atheist & Ex Muslim.

“Apa lagi penghinaan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap Islam?” Mat mahu tahu sejauh mana kebiadapan kelompok Atheist & Ex Muslim terhadap kesucian agama Islam.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini mendakwa jika penganut agama Islam & Nasrani boleh mempercayai keabadian tuhan atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil eternal god yang mana tuhan itu tiada permulaan dan tiada pengakhiran... kenapa tidak mempercayai kepada keabadian alam semesta atau dalam Bahasa Inggeris dipanggil eternal universe? Mereka kata... kenapa tidak boleh percaya kepada keabadian alam semesta yang tiada permulaan dan juga tiada pengakhiran?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Aduh... sakit kepala aku dengan kelompok ni... apa lagi yang mereka kata di laman Facebook mereka sendiri?” Mat sakit hati tapi ingin tahu lagi...

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini kata... mereka pernah ditanya oleh muslim dan muslimah dan bahkan juga penganut Nasrani dengan  pertanyaan ~ bagaimana jika kelompok Atheist dan Ex Muslim ini salah dan golongan yang berpegang kepada Islam atau Nasrani adalah benar? Bukankah lebih selamat jika kita kekal dalam anutan Islam atau Nasrani just in case?” Din menyambung bicara.

“Hmmm... menarik pertanyaan tu... apa maklumbalas daripada kelompok ini?” Mat ingin tahu.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini menjawab... tiada istilah kita memilih untuk percaya apa yang kita percaya... kita percaya adalah kerana kita sememangnya percaya dan bukannya kita memilih untuk percaya kepada sesuatu yang kita percaya. Jika kita boleh memilih untuk percaya tentang sesuatu... kelompok Atheist dan Ex Muslim ini bagi contoh bolehkah kita memilih untuk percaya adanya makhluk asing atas kepala kita? Kita belum dapat melihat kewujudan makhluk asing dengan mata kasar kita atau berhadapan secara dekat tapi mereka kata... percayalah walaupun belum dibuktikan... adakah ia berkesan?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Bagaimana jika kelompok mereka ini salah dan disebabkan kelompok mereka ini memilih haluan yang sebegitu... pengakhiran mereka adalah api neraka jahanam?” Mat bertanya.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ada menyatakan bahawa mereka ada menerima soalan yang sebegitu...” Din menyambung bicara.

“Jadi... apa jawapan mereka?” Mat ingin tahu.

“Kelompok mereka ini menjawab... jika akhirnya mereka bertemu Allah, rabb, tuhan, god, lord, bhagvan atau apa jua perkataan manusia merujuk kepada apa yang didakwa sebagai si pencipta alam semesta... mereka akan bertanya ~ adakah kami akan dibakar di api neraka hanya kerana tidak mengikuti apa yang kami lihat sebagai satu perkara yang masih terdapat kelemahan sedangkan engkau adalah maha sempurna seharusnya, sewajarnya dan tiada kelemahan cacat cela walaupun sebesar zarah? Apakah engkau yang maha sempurna mahu kami mengikuti sesuatu yang dianggap kononnya suruhan daripada engkau secara membuta tuli tanpa asas pembuktian yang kukuh bahawa ini adalah sememangnya suruhan engkau?” Din meyambung bicara panjang lebar.

“Ada tak orang Islam bertanya kepada kelompok ini... apa akan jadi jika Allah tetap mengjerumuskan diri kelompok mereka ini ke dalam api neraka jahanam?” Mat ingin tahu.

“Kelompok Atheist & Ex Muslim ini kata mereka bukan sahaja menerima soalan sebegitu daripada orang Islam tapi bahkan jua daripada orang Nasrani.” Din menyambung bicara.

“Jadi, apa jawapan mereka?” Mat ingin tahu.

“Kelompok ini kata bahawa golongan yang berpegang kepada agama tanpa mengira apa jua agama yang dianuti iaitu orang seperti kita ni... aku, kau dan ramai lagi penganut agama lain... percaya bahawa sifat tuhan si pencipta ini maha sempurna... sifatNya maha mulia... apabila bercakap tentang maha mulia... sudah semestinya sifat kebaikan tuhan itu tersangat jauh melebihi manusia dan lain-lain spesis ciptaanNya.” Din menyambung bicara.

“Jadi?” Mat bertanya.

“Kelompok ini berkata jika masih terdapat manusia yang masih mengasihi ahli keluarga di penjara atau mengasihi manusia lain walaupun manusia itu jahat dan melukakan hati manusia lain... kenapa tuhan hendak lontarkan mereka ke api neraka jahanam hanya kerana mereka tidak mahu mengikut apa yang kononnya suruhan tuhan pencipta alam tapi pada masa yang sama terdapat kelemahan dalam suruhan itu?” Din menyambung bicara dengan panjang lebar.

“Fuh... dah terlalu jauh menyimpang ideologi mereka ini. Sangat melampaui batas!” Ujar Mat.

“Kan?! Sebab itu aku panggil mereka ini Atheist & Ex Muslim yang celaka!” Din meluahkan kemarahan.

“Jadi... nak buat apa sekarang ni?” Mat bertanya.

“Aku nak report laman Facebook mereka ini agar ditutup. Jangan biarkan mereka ini kelirukan orang Islam kita!” Din menjawab ringkas.

“Sekejap...” Mat menahan tangan Din.

“Kenapa?” Din bertanya.

“Kau tak rasa ke... apa yang kau buat ni lebih kurang sama saja dengan tindakan golongan Islamofobia... menyekat kemaraan tanpa menjelaskan?” Mat pula bertanya.

“Dah tu? Takkan nak biarkan mereka ini menyesatkan orang Islam kita?” Din pula bertanya.

“Kita jawablah segala macam pertanyaan dan hujah kelompok mereka. Kalau kita sekat kelompok mereka... bukankah ia sama seperti kita mengiyakan hujah kelompok mereka? Ia seperti seolah-olah kebenaran sudah memihak kepada kelompok mereka dan kerana itu... kita menyekat kelompok mereka sama seperti mana golongan Islamofobia menyekat pendakwah Islam.” Mat menjelaskan.

“Tapi aku tak tahu nak jawab soalan dan hujah mereka... kau tahu?” Din bertanya kepada Mat.

“Jika aku, kau dan ramai orang Islam tidak tahu untuk menjawab soalan dan hujah kelompok ini... bukannya bermakna tiada seorang pun orang Islam yang tidak tahu menjawabnya. Kita sering mengecam golongan Islamofobia tapi tanpa kita sedar... apalah beza diri kita dengan golongan Islamofobia?” Mat menjelaskan.

“Hmmm...” Din termenung sekejap...

“Dah... pergi solat Isyak! Jangan tangguh-tangguh.” Mat menyuruh Din segerakan solat Isyak.

  • TAMAT -


#ifaizi #ifaizizone

Tegur & Dendam?.

Wednesday, December 26, 2018
Di sebuah tapak perkuburan... sedang berlangsungnya urusan pengebumian satu jenazah... suasana sedih menyelubungi ahli keluarga, sahabat handai dan sesiapa yang mengenali jenazah di tapak perkuburan itu.

Beberapa qariah masjid dan surau berdekatan serta beberapa orang awam yang merangkumi jua beberapa ahli keluarga, sahabat handai dan sesiapa yang mengenali jenazah mengambil tanggungjawab untuk mengcangkul tanah untuk menyempurnakan pengebumian jenazah sambil memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Jenazah yang sedang dikebumikan ialah Haji Mustafa atau lebih dikenali sebagai Haji Topa di kalangan masyarakat setempat.

Antara mereka yang mengambil tanggungjawab menyempurnakan pengebumian jenazah dengan mengcangkul tanah ialah Haji Deris, Jiman & Helmi.

Setelah selesai urusan pengebumian jenazah arwah Haji Topa & selesainya jua bacaan talkin disempurnakan oleh imam masjid berhampiran... Helmi cuba mendapatkan Jiman untuk Helmi bertanyakan soalan kepada Jiman...

“Jiman!” Helmi memanggil Jiman yang sudah beberapa langkah di hadapan Helmi. Jiman sedang menuju ke arah motorsikalnya untuk pulang ke rumah tapi langkahnya terhenti sekejap apabila Helmi memanggil nama Jiman.

“Ada apa?” Jiman bertanya kepada Helmi.

“Kenapa?” Helmi bertanya kepada Jiman.

“Kenapa apanya?” Jiman pula bertanya kepada Helmi.

“Kenapa kau uruskan pengebumian jenazah Haji Topa?” Helmi bertanya kepada Jiman.

“Apa punya soalan kau tanya ni? Ini kan dah jadi tanggungjawab kemanusiaan sesama kita yang terdekat & semampu yang boleh bagi menyempurnakan pengakhiran kehidupan yang menghembuskan hayat nafas terakhir.” Jiman menjelaskan kepada Helmi.

“Tapi kau dah lupakah apa yang berlaku antara kau dan Haji Topa?” Helmi bertanya lagi kepada Jiman.

“Apa yang berlaku antara aku dan Haji Topa?” Jiman bertanya kepada Helmi.

“Cuba kau ingat semula apa yang berlaku antara kau dan Haji Topa di masjid beberapa hari lepas sebelum Haji Topa jatuh sakit dan meninggal dunia... cuba ingat semula...” Helmi cuba membawa Jiman untuk mengimbau semula peristiwa yang berlaku di masjid beberapa hari lepas...

Jiman sedang mengimbau...

“Kalau rasa jenazah tu boleh berguling sendiri ke liang lahad... suka hati kau lah!” Kata Haji Topa kepada Jiman tetapi teguran itu seolah tidak mahu didengar oleh Jiman.

Haji Topa begitu marah kepada Jiman kerana Jiman seolah tidak berminat mendengar nasihat Haji Topa.

Apa yang membuatkan Haji Topa berkata begitu kepada Jiman?

Mari kita pergi ke situasi yang lebih awal sebelum Haji Topa melafazkan ayat itu kepada Jiman...

Di masjid... sesudah selesainya solat Isyak berjemaah... Jiman duduk di bangku perkarangan masjid untuk merehatkan diri sebelum meneruskan langkah perjalanan pulang ke rumah dari masjid. Turut bersama Jiman ialah Helmi, kawan baiknya.

Haji Topa yang juga selesai menunaikan solat Isyak secara berjemaah di masjid itu ternampak Jiman dan Helmi duduk di bangku perkarangan masjid. Haji Topa menghampiri mereka berdua di bangku perkarangan masjid itu.

“Assalammualaikum, Jiman... Helmi...” Haji Topa memberi salam kepada mereka berdua.

“Waalaikumsalam, ji...” Jiman & Helmi menjawab salam yang diberikan oleh Haji Topa.

“Belum balik lagi ke?” Haji Topa bertanya kepada mereka berdua.

“Saya kejap lagi nak baliklah ni... saya berehat sekejap di bangku perkarangan masjid ni, ji!” Jiman menjawab pertanyaan Haji Topa.

“Sebelum kamu balik ni... boleh tak aku nak tanya kamu ni, Jiman?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

“Nak tanya apa, ji?” Jiman bertanya kepada Haji Topa.

“Kamu ada beri makan setiap hari kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan ke?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

Tanpa teragak... Jiman mengaku ada memberi makan hampir setiap petang kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.

“Kamu tahu tak... anjing tu hukumnya haram!” Haji Topa berkata kepada Jiman.

“Tapi saya cuma beri makan sahaja kepada anjing-anjing terbiar... bukannya saya buat yang lebih-lebih kepada anjing-anjing terbiar di pekan.” Jiman menjelaskan kepada Haji Topa.

“Kalau niat kamu nak beri makan... kamu boleh sahaja memberi makan kepada kucing atau orang fakir miskin atau orang kelainan upaya...” Haji Topa pula menjelaskan kepada Jiman.

“OK, saya rasa ada salah faham di sini... saya rasa Haji Topa hanya nampak saya beri makan kepada anjing-anjing terbiar di pekan sedangkan ada waktu lain juga selalu saya ada memberi makan kepada kucing terbiar, orang fakir miskin dan orang kelainan upaya... bahkan saya juga selalu ada memberi bantuan dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa saya bersama sahabat-sahabat sukarelawan saya yang lain kepada orang fakir miskin dan orang kelainan upaya. Kami juga ada memberi bantuan barang dapur dan pakaian kepada golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya.” Jiman menjelaskan panjang lebar kepada Haji Topa.

“Mungkin pada waktu kami sedang memberi bantuan kepada golongan manusia yang memerlukan... Haji Topa tak nampak tapi secara kebetulan Haji Topa hanya selalu nampak kami memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.” Jiman menambah penjelasannya kepada Haji Topa.

“Tapi anjing tetap hukumnya haram.” Nampaknya tumpuan Haji Topa lebih terarah kepada perkataan anjing berbanding penjelasan Jiman berkaitan bantuan yang diberikan olehnya serta rakan-rakan sukarelawan lain terhadap spesis haiwan dan golongan manusia lain yang memerlukan bantuan.

Jiman mula menarik panjang sikit nafasnya kerana merasa penat memberi penjelasan panjang lebar kepada Haji Topa.

“Beginilah, ji... saya dan rakan-rakan sukarelawan lain yang beragama Islam... kami bukannya tak tahu langsung hukum-hakam agama... bahkan andai kami tersentuh anjing sekali pun... kami akan segera samak setelah selesai memberi makan kepada anjing-anjing sekitar pekan.” Sekali lagi, Jiman memberi penjelasan kepada Haji Topa.

“Jadi, kamu masih berdegil untuk meneruskan memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan?” Haji Topa bertanya kepada Jiman.

“Terlebih dahulu, saya mohon maaf kepada Haji Topa. Jawapan saya... YA, saya dan rakan-rakan sukarelawan yang lain akan meneruskan aktiviti kami dan salah satu aktivitinya ialah memberi makan kepada anjing-anjing terbiar di sekitar pekan.” Jiman menjawab pertanyaan Haji Topa.

“Susah kalau bercakap dengan orang liberal ni... macam bercakap dengan syaitan... kamu ni tak patut datang masjid mencemarkan kesucian masjid ni...” Haji Topa menyelar Jiman.

Mendengar ayat itu keluar daripada bicara mulut Haji Topa membuatkan Helmi rasa macam nak bangun dari bangku perkarangan masjid itu dan macam rasa nak melempang Haji Topa.

Mujur sahaja Jiman menahan tindakan Helmi daripada melakukan perkara sebegitu. Jiman dapat merasa terlebih dahulu yang Helmi berkemungkinan bertindak seperti itu. Belum sempat Helmi nak bangun... Jiman dah pegang tangan Helmi tanda menahan kemungkinan tindakan Helmi terhadap Haji Topa.

“Kalau rasa jenazah tu boleh berguling sendiri ke liang lahad... suka hati kau lah!” Kata Haji Topa kepada Jiman tetapi teguran itu seolah tidak mahu didengar oleh Jiman.

Jiman hanya mampu sekadar tersenyum dengan kata-kata Haji Topa.

Imbauan Jiman berakhir...

“Jadi?” Jiman bertanya kepada Helmi...

“Mohon maaflah kalau apa yang aku cakap ni melukakan hati kau. Cuba bayangkan kalau kau yang meninggal terlebih dahulu berbanding Haji Topa... boleh jadi... Haji Topa tak nak sama-sama membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah kau walaupun dia mempunyai kelapangan masa yang sangat banyak dan sememangnya tak ada sebarang masalah untuk dirinya membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah kau andai itu yang terjadi. Silap haribulan, dia hasut orang lain untuk memulaukan urusan pengebumian jenazah kau hanya kerana kata-katanya tidak diikuti oleh kau.” Helmi bicara panjang lebar.

“Tak baik kau bersangka buruk kepada orang apatah lagi jika orang itu sudah meninggal dunia.” Jiman memberi nasihat lembut kepada kawan baiknya itu.

“Tak adalah... aku kasihankan kau. Kau tu kawan baik aku... aku pelik... bagaimana kau boleh bersabar dengan orang-orang macam Haji Topa? Ramai orang ugut tak nak bantu uruskan pengebumian jenazah kau semata-mata kau tak ikut cakap mereka tapi bila ada arwah-arwah yang kau kenal masa hidupnya tak ikut nasihat kau... tak ada pula kau kata macamlah jenazah mereka boleh berguling sendiri ke liang lahad. Malah kau tetap membantu jika mempunyai kelapangan masa dan jika tidak mempunyai sebarang halangan... tetap membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah mereka itu yang pernah masa hidup mereka... mereka tak ikut pun apa yang kau katakan.” Sekali lagi panjang lebar bicara Helmi.

Jiman tersenyum mendengar kata-kata Helmi.

“Helmi... sepanjang hidup aku setakat ini... dah terlalu ramai jenazah yang aku bantu uruskan pengebumian jenazah mereka. Ada antara mereka yang sudah meninggal dunia ini... hanya aku dan mereka sahaja yang tahu rahsia mereka. Hanya kami berdua sahaja tahu rahsia mereka masing-masing.” Jiman menjelaskan kepada Helmi.

“Ada yang masa hidupnya mengamalkan rasuah, main judi, minum arak, makan harta anak yatim dan sebagainya tapi pada masa yang sama bertopengkan agama... ada antara mereka pergi menunaikan umrah dan haji dengan duit yang masyarakat kita panggil duit haram... bahkan mereja lakukan ibadah umrah atau haji itu banyak kali dengan duit haram... tak kiralah duit rasuah, duit hasil judi, duit anak yatim dan sebagainya.” Jiman meneruskan penjelasan kepasa Helmi.

“Ada juga antara jenazah-jenazah yang aku bantu uruskan urusan pengebumian jenazah mereka itu masa hidupnya adalah pondan, atheist, deist dan sebagainya. Walaupun masa hidup mereka seperti itu... tiada pula masalah yang aku dan orang lain hadapi dalam membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah mereka ini.” Jiman meneruskan penjelasan kepada Helmi.

“Terlalu banyak rahsia mereka yang aku pegang dan aku masih menyimpan kemas rahsia mereka. Pada aku... yang sudah tiada, biarkan berlalu pergi dan yang masih hidup ini... teruskanlah kehidupan sehingga ke nafas hayat yang terakhir.” Giliran Jiman pula bicara panjang lebar.

“Hmmm...” Helmi hanya mampu berkata itu setelah mendengar penjelasan yang sangat panjang lebar daripada kawan baiknya, Jiman.

“OKlah, aku balik dulu... Assalammualaikum!” Helmi segera menamatkan perbualan setelah mereka berbual panjang.

“Waalaikumsalam.” Ringkas sahaja Jiman menjawab salam daripada Helmi dan mereka bedua beredar dari situ.

Sewaktu Jiman dalam perjalanan pulang ke rumah dengan menunggang motorsikalnya baru beberapa meter dari tapak perkuburan... Jiman terserempak Haji Deris iaitu salah seorang yang sering berjemaah di masjid yang sama sedang berbual dengan beberapa orang yang kelihatannya baru tiba untuk menziarahi kubur Haji Topa. Mereka ini yang sedang berbual dengan Haji Deris mungkin datang dari jauh yang mungkin juga sahabat lama zaman sekolah dahulu.

Ketika Jiman menghampiri mereka... Jiman terdengar bual bicara Haji Deris yang seolah-olahnya memburuk-burukkan Haji Topa di hadapan mereka yang mungkin baru tiba dari jauh.

Jiman menghampiri mereka dan mematikan enjin motorsikalnya...

“Assalammualaikum...” Jiman memberi salam kepada mereka itu termasuk Haji Deris.

“Waalaikumsalam...” mereka menjawab termasuk Haji Deris.

Jiman menghulurkan tangan tanda bersalaman kepada mereka termasuk Haji Deris. Mereka termasuk Haji Deris turut sama bersalaman tangan dengan Jiman.

“Encik-encik ni semua dari mana? Nak mengziarahi kubur Haji Topa ke?” Jiman bertanya.

“Kami ni semua dari Kuala Lumpur... kami baru sahaja tiba... memang kami nak mengziarahi kubur Haji Topa. Haji Topa ni dulu rakan satu sekolah dengan kami.” Salah seorang daripada mereka menjelaskan kepada Jiman.

“OKlah, kami nak menuju ke kubur arwah sementara anak-anak arwah masih ada di pusara arwah. Kalau anak-anak arwah dah pulang... tak tahu pula kami di mana kubur arwah... assalammualaikum...” salah seorang menamatkan perbualan di situ dan mereka segera menuju ke tapak perkuburan.

“Waalaikumsalam...” ringkas jawapan salam daripada Jiman yang disudahi dengan bersalam tangan dengan mereka itu dan mereka yang baru tiba dari Kuala Lumpur itu segera menuju ke tapak perkuburan.

Sesudah mereka yang baru tiba dari Kuala Lumpur itu meninggalkan Jiman & Haji Deris beberapa meter... Jiman bertanya kepada Haji Deris.

“Apa yang Haji Deris katakan kepada mereka tentang Haji Topa? Rancak semacam...” Jiman bertanya kepada Haji Deris.

Haji Deris memburuk-burukkan Haji Topa dengan mengatakan wajah Haji Topa bertukar hitam sedangkan berlaku salah faham bahawa sejak kebelakangan ini cuaca sememangnya sangat terik... tona kulit Haji Topa sememangnya sudah coklat gelap ditambah pula cuaca yang terik memancar sebelum beliau jatuh sakit yang menyebabkan tona kulitnya semakin gelap.

Walaupun tona kulitnya semakin gelap tapi tidaklah hitam sangat seperti yang digembar-gemburkan oleh Haji Deris. Jiman merasa hairan kenapa Haji Deris begitu beriya sungguh menggambarkan situasi kematian Haji Topa seolah mendapat pembalasan tuhan sedangkan perkara sebenar bukanlah seperti itu.

Pada pandangan Jiman... jika berlakunya salah faham... tidak mengapa tapi jika Haji Deris sememangnya berbohong dengan niat untuk menjatuhkan maruah arwah dan keluarga arwah... menurut pandangan Jiman... tindakan itu merupakan sesuatu yang tidak wajar.

Apalah perasaan kawan-kawan arwah tadi apabila mendengar apa yang dikatakan oleh Haji Deris tadi?

Adakah mereka percaya atau sebaliknya?

Sama ada mereka percaya atau tidak dengan apa yang disampaikan oleh Haji Deris... apakah reaksi mereka terhadap Haji Deris?

Jiman adalah antara orang yang membantu menguruskan urusan pengebumian jenazah arwah Haji Topa dari mula hingga akhir... memandikan... mengkafankan... melakukan solat jenazah... mengangkat keranda jenazah... memasukkan jenazah ke liang lahad... mengcangkul tanah... menanam nisan & turut sama dalam bacaan talkin di kawasan kubur. Boleh dikatakan semuanya berjalan lancar dan tiada perkara pelik, luar biasa atau perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang urusan pengebumian.

Jiman merasa hairan... bagaimana Haji Deris dengan berpenampilan jubah dan berserban boleh bertindak dan berkata sedemikian? Adakah Haji Deris menyimpan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap arwah Haji Topa?

Ramai orang kata Jiman liberal tapi Jiman tidaklah suka menyimpan dendam pada sesiapa jua... Jiman merasa hairan terhadap mereka yang dakwa diri mereka baik & beragama tapi... hmmm... itulah sahajalah yang Jiman mampu ungkapkan di dalam sanubarinya.

Ketika Haji Deris sedang hendak beredar dari situ... Haji Deris menghidupkan pemetik api bagi menyalakan rokok. Rokok dinyalakan dan Haji Deris menghembus asap rokok dan berlalu pergi.

Jiman hanya sekadar menggelengkan kepala.

Peliknya Bani Pribumi Melayu ini kan?
Peliknya mereka ini bila bercakap tentang agama... mereka menjadi lebih alim berbanding bani lain.
Yang perempuan Melayu free hair atau sekadar membalut aurat tapi sering ucap kalimah Allah di bibir dan sering berada di minda sanubari mereka manakala lelaki Melayu pula sambil hembus asap... sambil itu jugalah mereka memberi tazkirah dan dakwah.

Anehnya mereka ini bila menegur orang lain... mereka rasa mereka mengajak orang lain ke arah kebaikan tapi bila salah mereka sendiri ditegur... mereka mendakwa orang lain sengaja mencari kesalahan mereka.

Apabila merasakan kata-kata mereka tidak dipedulikan... mereka keluarkan satu ayat berbaur ugutan seperti contoh “Jenazah kau bukannya boleh berguling sendiri ke liang lahad...”

Jadi adakah si pengeluar ayat tersebut apabila meninggal kelak suatu hari nanti... adakah jenazahnya berguling sendiri ke liang lahad? Boleh jadi si pendengar ayat tersebut itu menjadi salah seorang yang membantu menguruskan pengebumian jenazah si pengeluar ayat tersebut. Tapi adakah jenazah si pendengar ayat tersebut akan dikebumikan atau dibiarkan mereput sendiri atau dicampak ke sungai atau laut?

Agama? Kemanusiaan? Keduanya sekali?

Entahlah...

  • TAMAT -


#ifaizi #ifaizizone
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...